GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seorang wanita cedera di beberapa bahagian badan dan terpaksa menjalani pembedahan selepas diserang anjing peliharaan jiran di Medan Terengganu di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Cheah Hean Hoon, 49, diserang tiga anjing yang tidak dirantai itu ketika berjalan melintasi rumah jirannya.

Hean Hoon berkata, ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar bersiar-siar dan sebaik melintas rumah jiran, tiga anjing berkenaan meluru keluar dan menggigitnya tanpa sempat melarikan diri.

"Tiada sesiapa ketika kejadian itu berlaku dan saya tidak berdaya melawan anjing berkenaan bersendirian.

"Akibatnya, tangan kanan saya mengalami kecederaan manakala isi di paha kiri dan kanan juga terkoyak," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hean Hoon berkata, dia kemudian menghubungi abang iparnya sebelum dia dibawa ke hospital swasta bagi mendapatkan rawatan dan terpaksa dimasukkan ke wad bagi menjalani pembedahan.

"Memandangkan esok Tahun Baharu Cina, doktor membenarkan saya keluar dari wad namun perlu datang ke hospital setiap 12 jam selama seminggu, bagi diberi suntikan," katanya laporan dibuat di Balai Polis Datuk Keramat di sini, semalam.

Hean Hoon berkata, anjing berkenaan keluar melalui pintu pagar rumah yang rosak namun tidak dibaiki pemiliknya.

"Kejadian ini bukan pertama kali malah beberapa jiran juga pernah digigit anjing berkenaan namun pemilik haiwan itu enggan bertanggungjawab.

"Penduduk pernah bersemuka dengannya dan pemilik haiwan itu dengan angkuh meminta orang ramai tidak melintas di depan rumahnya.

"Bayangkan jika anjing itu menyerang kanak-kanak sudah tentu kesannya lebih buruk dan jika masih tiada tindakan. Saya akan buat laporan polis sekali lagi kerana ia beri ancaman kepada penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 3:19 PM