Noor Fazilah bersama Ainin Syuhadah yang dirawat di HSNI. FOTO Essa Abu Yamin
Noor Fazilah bersama Ainin Syuhadah yang dirawat di HSNI. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


IBU budak perempuan berusia dua tahun yang parah digigit anjing tidak dapat melupakan detik cemas ketika mereka diserang haiwan berkenaan di Taman Banang Heights, Batu Pahat, kelmarin.

Noor Fazilah Ishak, 30, berkata, ketika kejadian dia bersama anaknya, Ainin Syuhadah Syahrul Nizam yang digigit anjing dan seorang lagi anaknya, Ainul Safiya, 4, membonceng motosikal ditunggang adik lelakinya berusia 17 tahun.

Katanya, mereka mahu pulang ke rumah yang disewa berdekatan tempat kejadian sebelum motosikal yang dibonceng mereka gagal dikawal lalu terbabas ketika cuba mengelak lori yang sedang memunggah barang.

"Kami dalam perjalanan pulang dari hospital menziarahi seorang lagi adik saya yang sakit dan ketika kejadian saya memeluk Ainin Syuhadah lalu terjatuh ke dalam longkang manakala adik saya dan Ainul Safiya jatuh di bahagian kaki lima premis berkenaan.

"Secara tiba-tiba anjing yang diikat di situ menerkam kami mungkin kerana haiwan itu terkejut terdengar bunyi rempuhan motosikal ke pintu kedai dan terus menggigit kepala Ainin Syuhadah," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), hari ini.

Noor Fazilah berkata, anaknya menangis kesakitan dan meraung sekuat hati ketika anjing terbabit menggigit bahagian belakang kepala termasuk telinga kanan sehingga darah mengalir.

"Orang ramai juga membantu melepaskan gigitan anjing terbabit sebelum anak dibawa ke hospital dan menerima beberapa jahitan di kepala serta telinga," katanya yang masih dalam keadaan trauma akibat kejadian berkenaan.

Noor Fazilah juga turut berharap pengguna media sosial tidak membuat andaian sendiri berhubung video terbabit yang tular di media sosial termasuk menuduh adiknya mengambil bahan terlarang.

"Saya kesal apabila membaca komen di media sosial termasuk menyatakan pemilik anjing berkenaan tidak bertanggungjawab padahal mereka memberi kerjasama baik termasuk melawat anak di hospital semalam.

"Kami juga sudah membuat laporan polis serta merujuk kepada Jabatan Veterinar berkaitan haiwan itu dan tidak mahu isu ini terus diperbesarkan sedangkan ia boleh diselesaikan dengan cara baik," katanya.

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 1.29 saat di tempat kejadian, anjing berkenaan yang diikat di tiang premis menerkam kanak-kanak terbabit selepas motosikal mereka terbabas dan merempuh pintu kedai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan meminta pihak berkuasa tempatan untuk melakukan pemantauan terhadap anjing-anjing liar mahupun anjing perliharaan yang dibiarkan ditempat awam.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 manakala kes kanak-kanak digigit anjing disiasat dibawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana cuai menyebabkan binatang peliharaan mendatangkan kecederaan.

"Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksima enam bulan dan denda tidak lebih RM2,000.00 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berita berkaitan:

Kasihan dia...[METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 7:11 PM