KESAN darah pada mulut dan kaki anjing yang menyerang Ramiza. - Agensi
KESAN darah pada mulut dan kaki anjing yang menyerang Ramiza. - Agensi

Malang (Indonesia): Seorang budak perempuan berusia lapan tahun mati selepas diserang seekor anjing daripada baka Pitbull peliharaan keluarganya.

Mayat Ramiza Bazigha ditemui dengan kesan cedera di leher dipercayai akibat digigit anjing itu di pekarangan rumah keluarganya di sini pada Ahad lalu.

Jurucakap polis, Bindriyo berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui nenek mangsa yang kemudian meminta bantuan jiran untuk membawanya ke hospital.

“Ketika ditemui ada kesan luka di leher akibat digigit anjing peliharaan keluarganya.

“Ketika kejadian kanak-kanak itu berseorangan dan tiada siapa menyedari mangsa diserang,” katanya kepada detikcom semalam.

Media melaporkan, kanak-kanak itu diserang anjing berkenaan ketika mahu mengambil anak patungnya yang terjatuh ke dalam kandang haiwan berkenaan.

Anjing itu juga dilaporkan sudah lama dibela keluarga mangsa dan dirantai ketika kejadian.

Bindriyo memberitahu, pihak berkuasa masih menyiasat kejadian itu dan anjing berusia empat tahun berkenaan turut dirampas. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2017 @ 3:49 AM