Siti Rohana Idris


Gua Musang: Kelibat seekor harimau belang berkeliaran mengakibatkan kira-kira 800 penduduk Orang Asli di 10 kampung di Pos Balar, di sini, terus berdepan kebimbangan sejak dua bulan lalu.

Masyarakat suku Temiar terbabit juga terpaksa berhati-hati termasuk menyediakan banyak kayu api di rumah masing-masing selepas mendakwa raja rimba itu 'muncul' berhampiran kediaman guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, di sini.

Penduduk Longdi Angah, 45, berkata kelibat harimau belang yang muncul pada April lalu mengejutkan mereka, namun tidak dapat mengagak sama ada ia dari Pos Bihai atau sebaliknya.

"Memang takut, kami kumpul kayu api di rumah untuk menyalakan api bagi mengelakkan harimau datang dekat.

"Walaupun sudah dua bulan ia dilihat kali terakhir, kami masih perlu awas-awas (berwaspada) setiap kali ingin keluar rumah atau akan keluar dalam kumpulan jika ada urusan waktu malam," katanya.

SUASANA di sekitar Pos Balar yang memiliki 10 kampung membabitkan kira-kira 800 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar. FOTO Siti Rohana Idris
SUASANA di sekitar Pos Balar yang memiliki 10 kampung membabitkan kira-kira 800 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar. FOTO Siti Rohana Idris

Difahamkan, satu perangkap dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), namun binatang itu masih belum berjaya ditangkap.

Penduduk lain Lili Alek, 24, berkata perasaan takut masih dirasai walaupun dia baru menetap di kampung itu sejak beberapa bulan lalu.

"Saya sekeluarga jarang keluar jauh melainkan sekitar rumah sahaja untuk menjalani rutin bercucuk tanam.

"Agak bimbang juga dengan ancaman harimau, tidak mustahil ia akan muncul lagi kerana hutan adalah habitat asalnya dan kami perlu berhati-hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 3:57 PM