Siti Rohana Idris


Gua Musang: Keputusan untuk memeluk agama Islam empat tahun lalu disifatkan satu keputusan tepat walau memerlukan pengorbanan dan berdepan cabaran besar buat Lili Alek, etnik Orang Asli dari Pos Balar, di sini.

Cabaran untuk mendalami Islam buat Lili, 24, sudah pasti dirasai saat hanya dia sahaja yang bertukar agama ketika itu manakala lapan beradik lain termasuk ibu dan bapanya masih lagi beragama Kristian.

Bagi wanita suku kaum Temiar itu, sehingga kini dia masih lagi dalam proses mengenali Islam lebih dekat dengan memanfaatkan sepenuhnya aplikasi YouTube serta media sosial lain.

"Saya tidak membesar di perkampungan Orang Asli kerana bapa (Alek Busu, 59) seorang tentera dan kami sering berpindah randah sehinggalah ayah pencen ketika usia saya mencecah 11 tahun serta kembali ke Pos Balar.

LILI (belakang, kanan) bersama ibunya, Sarina dan dua anaknya ketika ditemui di Pos Balar. FOTO Siti Rohana Idris
LILI (belakang, kanan) bersama ibunya, Sarina dan dua anaknya ketika ditemui di Pos Balar. FOTO Siti Rohana Idris

"Pergaulan saya yang banyak dengan rakan Melayu mempengaruhi hati untuk mengenali Islam dan sesekali suka-suka cuba memakai tudung namun ada rakan yang marah kerana menganggap tindakan itu main-main kerana saya beragama Kristian (ketika itu)," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Berjaya menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta di ibu kota semakin membuka ruang untuk ibu tunggal yang memiliki sepasang cahaya mata itu untuk mengenali Islam dengan lebih dekat.

Lili berkata, ibunya, Sarina Busu, 56, seorang penganut Kristian yang taat dan berasa agak pelik kerana setiap kali anak keenam daripada lapan beradik itu pulang bercuti ke kampung halaman, ajakannya untuk sembahyang di gereja sering ditolak.

"Emak sering bertanya kenapa saya selalu menolak jika dia mengajak ke gereja dan saya rasa sudah sampai masanya untuk saya memberitahu keluarga terutama emak dan ayah mengenai niat saya untuk memeluk Islam.

"Ayah tidak menghalang malah mengingatkan saya agar menjadi Muslim yang betul-betul taat kepada Islam namun emak pula kelihatan kecewa ketika itu dan dalam masa yang sama kedua mereka menyokong keputusan saya.

"Akhirnya pada 2018 ketika berusia 20 tahun, saya melafazkan dua kalimah syahadah dan sejurus selepas momen itu, saya rasa ketenangan yang luar biasa serta seakan mendapat oksigen yang berlebihan," katanya sambil memberitahu abangnya, Pandak Alek, 30-an turut memeluk Islam tiga bulan lalu.

Lili yang baru lapan bulan kembali ke kampung halaman berkata, cabarannya untuk mengamalkan Islam di perkampungan itu agak sukar kerana boleh dikatakan separuh daripada 800 penduduk di 10 kampung di Pos Balar adalah beragama Kristian serta tiada agama.

Dia yang baru enam bulan menjadi tenaga pengajar di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) An-Najjah Pos Balar bagaimanapun tetap berusaha menguatkan hati untuk menjadi Muslim yang baik dalam masa yang sama berhasrat mengembangkan Islam dalam kalangan etnik minoriti itu.

"Alhamdulillah, keluarga sangat memahami kerana sepanjang menetap bersama mereka, pinggan mangkuk dan peralatan memasak diasingkan malah emak juga sering mengingatkan waktu solat selain bantu mengasuh dua anak ketika saya bersolat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 1:13 PM