Georgetown: Luahan rasa kecewa pada sekeping nota akibat masalah cinta merungkai misteri penemuan lelaki warga Nepal yang ditemui mati tergantung di dalam sebuah bilik di Jalan Sri Bahari di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.10 malam, mayat Daya Shankar, 34, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditemui dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat di belakang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian oleh pemilik kedai yang menyewakan bilik kepada Daya.

“Pemilik kedai terbabit menemui mayat mangsa tergantung di dinding dengan lehernya diikat dengan tali manakala kedua-dua tangan terikat di belakang.

“Turut ditemui satu nota mengenai mangsa yang kecewa dan sedih berikutan masalah percintaan berikutan teman wanita Daya dikatakan enggan meneruskan hubungan mereka,” katanya.

Menurut Mior Faridalathrash, pihaknya tidak menemui kesan kecederaan pada badan mangsa dan mayatnya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 5:13 AM