AHMAD Zaini dilantik sebagai Pengarang Kumpulan BH berkuat kuasa 1 Jun lalu. FOTO NSTP
AHMAD Zaini dilantik sebagai Pengarang Kumpulan BH berkuat kuasa 1 Jun lalu. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: The New Straits Times Press (NSTP) mengumumkan perlantikan Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman sebagai Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH) berkuat kuasa 1 Jun lalu bagi menggantikan Datuk Saidon Idris yang bersara, baru-baru ini.

Ahmad Zaini, 58, memulakan kerjayanya sebagai wartawan dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada 1984.

Beliau kemudian menyertai BH pada 18 Mac 1991 dan kekal bersama akhbar berkenaan sehingga kini.

Dengan lebih 35 tahun pengalaman dalam kewartawanan, Ahmad Zaini pernah memegang beberapa jawatan editorial di BH termasuk Ketua Biro Kedah, Penolong Pengarang Berita, Ketua Pengarang Berita, Pengarang Bersekutu Berita dan Digital, Pengarang Eksekutif Berita serta Pengarang Eksekutif Komersial dan Hal Ehwal Semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Mustapha Kamil Mohd Janor berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan perlantikan Ahmad Zaini sebagai Pengarang Kumpulan BH.

"Beliau amat dihormati dalam bidang kewartawanan dan pengalaman serta pengetahuannya dalam syarikat ini amat berharga selari dengan perkembangan kita.

"Kita juga merakamkan penghargaan kepada Saidon yang berjaya menaikkan jenama Berita Harian seperti hari ini.

"Kita yakin Ahmad Zaini mampu meneruskan legasi yang ditinggalkan Saidon dan mampu menjadikan kedudukan NSTP sebagai agensi berita utama negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 6:54 PM