Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan dan produk kosmetik bernilai lebih RM160,000 menggunakan sebuah bot kargo, di kawasan Sungai Melayu, Pulau Sebatik malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot kargo berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan bergerak dari arah perairan Baru 3 menuju ke Pulau Sebatik pada 9.45 malam.

Menurutnya, bot peronda APMM yang dalam penugasan Ops Sejahtera/Ops Cegah Pati Selatan, kemudiannya berjaya memintas bot kargo terbabit pada kedudukan dua batu nautika Timur Laut Perairan Sungai Melayu, berhampiran Pulau Sebatik.

"Pemeriksaan mendapati bot kargo yang dikendalikan tekong lelaki tempatan berusia 27 tahun itu membawa muatan secara berlebihan selain tidak memiliki sebarang permit berkaitan barangan yang di bawa.

"Selepas pemeriksaan dibuat, sebanyak 50 tong gas cecair petroleum (LPG), gula pasir (2.4 tan), daging beku (1480 kilogram) dan lebih 100 kotak barangan kosmetik pelbagai jenis ditemukan di dalam ruang kargo bot terbabit," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Shahrizan (tengah) bersama pegawai penyiasat menunjukkan antara barangan yang dirampas menerusi Ops Sejahtera/Ops Cegah Pati Selatan, malam tadi. FOTO  Abdul Rahemang Taiming
Shahrizan (tengah) bersama pegawai penyiasat menunjukkan antara barangan yang dirampas menerusi Ops Sejahtera/Ops Cegah Pati Selatan, malam tadi. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Mengulas lanjut, Shahrizan berkata, pihaknya percaya kesemua barangan kawalan itu cuba diseludup keluar ke negara jiran berikutan kedudukan Pulau Sebatik yang hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia.

Selain itu katanya, siasatan mendapati produk kosmetik tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) itu dibawa masuk ke daerah ini untuk dibungkus semula (re-packaging) dengan pelbagai jenama untuk dipasarkan di negara jiran.

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 5:08 PM