Jamil bersama anaknya, Marian Jamil selepas dijumpai orang awam di stesen bas Port Dickson tadi. FOTO Ihsan pembaca
Jamil bersama anaknya, Marian Jamil selepas dijumpai orang awam di stesen bas Port Dickson tadi. FOTO Ihsan pembaca
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Warga emas yang hilang selepas keluar tandas di Pantai Cahaya Negeri, Batu 4, di sini, semalam ditemui selamat di stesen bas di bandar ini kira-kira 9.30 pagi tadi.

Jamil Osman, 70, ditemui hampir 10 kilometer (km) dari lokasi dia hilang.

Anaknya, Marian, 40, berkata, bapanya ditemui orang awam yang berada di sekitar stesen bas berkenaan dan memaklumkan kepada mereka.

"Saya terus bergegas ke lokasi sebaik dapat tahu abah ada di situ. Orang awam maklumkan selepas baca berita kehilangan abah di media sosial dan Harian Metro.

"Memang rasa lega kerana abah ada masalah 'lupa'. Mungkin dia keliru ketika keluar daripada tandas petang semalam," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ketika ditemui, bapanya kelihatan letih mungkin kerana banyak berjalan.

"Sebaik jumpa dia, saya peluk dan minta maaf kerana membiarkan dia berseorangan ke tandas yang hampir dengan lokasi kami berkhemah (berkelah).

"Sepanjang malam, saya dan ahli keluarga tidak dapat melelapkan mata kerana kehilangan abah. Alhamdulillah abah sudah jumpa, terima kasih kepada orang ramai, anggota polis dan orang tempatan yang turut membantu mencarinya," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Abah hilang di pantai'
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 12:27 PM