Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Graduan institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk yang bekerja kerajaan adalah antara 275 belia berusia 18 tahun hingga 30 tahun ditangkap atas kesalahan rasuah ketika negara masih dalam tempoh pandemik Covid-19.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, data berkenaan adalah bagi tempoh antara 2020 hingga 3 Jun 2022.

Memperincikan data itu, katanya, seramai 21 belia berusia antara 18 tahun hingga 23 tahun ditangkap bagi tempoh sama.

"Untuk tempoh itu juga, seramai 254 belia berusia antara 24 tahun hingga 30 tahun turut ditangkap atas kesalahan rasuah. Keseluruhannya membabitkan 231 lelaki dan 44 wanita.

"Antara kesalahan rasuah yang dilakukan ialah memberi rasuah membabitkan 70 orang, kesalahan menerima rasuah membabitkan 123 orang dan bakinya lain-lain kesalahan rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Konvensyen Mahasiswa Antirasuah (KoMawAr) di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Penolong Naib Canselor (Jaringan Global) UM Profesor Dr Yong Zulina Zuhairi, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Razim Mohd Nor, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Razaliah Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Integriti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Abdulamin Abdillah.

Norazlan berkata, dalam tempoh antara 2020 hingga 3 Jun 2022 itu seramai 151 orang sudah dituduh di mahkamah membabitkan 11 belia berusia antara 18 tahun hingga 23 tahun dan 140 belia berusia antara 24 hingga 30 tahun.

"Seramai sembilan orang berusia antara 18 hingga 23 tahun dan 76 orang belia berusia antara 24 tahun hingga 30 tahun sudah selesai perbicaraan dan didapati bersalah.

"Data yang dibentangkan wajar dijadikan sebagai peringatan bahawa ada di antara belia yang ditahan adalah bekas penuntut IPT kita.

"Godaan rasuah, sama ada memberi rasuah atau lebih-lebih lagi menerima rasuah wujud terutamanya apabila penuntut tamat pengajian dan memasuki alam pekerjaan," katanya.

Beliau berkata, diharapkan segala pendedahan dan pengetahuan mengenai rasuah dapat dijadikan ingatan kepada graduan sebagai benteng daripada terperangkap dengan godaan dan gejala rasuah.

Katanya, segala penat lelah graduan menimba ilmu bagi mendapatkan segulung sijil, diploma atau ijazah di IPT akan sia-sia jika tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya.

"Ini belum lagi diambil kira pengorbanan ibu bapa yang mungkin ada di antaranya terpaksa berhutang atau menggadaikan harta benda bagi memastikan anaknya berpeluang meneruskan pelajaran di IPT.

"Percayalah hati ibu bapa akan hancur jika graduan yang baru setahun dua bekerja tiba-tiba ditangkap dan dituduh atas kesalahan rasuah.

"Jika beberapa tahun dahulu mereka melawat anaknya di universiti tetapi kini mereka terpaksa menziarahi pula di penjara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 5:36 PM