Syed Saleh (dua dari kiri) menyantuni petugas haji di Movenpick Hotel.Foto Samadi Ahmad
Syed Saleh (dua dari kiri) menyantuni petugas haji di Movenpick Hotel.Foto Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Sepang: Jemaah haji yang membuat rayuan haji di luar waktu giliran bagi semua kategori perlu membayar kos penuh iaitu RM30,850 seorang.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ,setakat ini jumlah jemaah haji yang masih belum menjawab surat tawaran haji adalah sangat sedikit dan TH masih menunggu maklum balas sebelum ia ditawarkan kepada jemaah lain yang membuat rayuan.

Katanya, kekosongan itu perlu diisi dalam kalangan jemaah yang menunggu dan kegagalan jemaah menjawab surat tawaran itu mungkin disebabkan masalah peribadi dan kesihatan di saat akhir.

"Kerajaan sudah membuat rayuan kepada Kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota haji dan setakat ini masih belum menerima jawapan bagi membantu mengurangkan tempoh menunggu jemaah Malaysia," katanya pada Majlis Pelepasan Petugas Haji 1444H/2023 di Movenpick Hotel di sini, tadi.

Seramai 160 petugas haji Musim Haji 1444H/2023 berlepas ke Tanah Suci semalam termasuk 13 petugas media, petugas kebajikan dan perubatan bagi membuat persediaan awal bagi menyantuni jemaah haji negara.

Jumlah kuota haji rakyat Malaysia diluluskan Kerajaan Arab Saudi pada tahun ini adalah sebanyak 31,600.

Syed Saleh berkata, seramai 670 petugas haji akan digerakkan ke Arab Saudi bagi menjayakan

perjalanan operasi haji tahun ini terdiri daripada 340 orang petugas kebajikan, 296 orang petugas perubatan dan selebihnya daripada agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta media.

Menurutnya, keberangkatan semua petugas dilakukan secara berperingkat menerusi beberapa siri penerbangan sepanjang operasi haji tahun ini.

Katanya, kumpulan pertama terdiri daripada 16 petugas perubatan dan petugas teknologi maklumat (IT) yang berlepas pada Jumaat lalu disusuli tiga kumpulan besar pada 18 dan 20 Mei ini.

"Penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula pada Ahad ini manakala penerbangan pulang terakhir adalah pada 1 Ogos," katanya.

Syed Saleh menambah, hari Wukuf pada tahun ini dijangka pada 9 Zulhijjah 27 Jun bersamaan hari Selasa.

Menurutnya, pada tahun ini TH menyediakan sebanyak 98 penerbangan sewa khas membabitkan Malaysia Airline dan Saudi Airline.

Katanya, pada masa sama TH turut menyediakan lapan stesen berlepas yang boleh digunakan jemaah haji di seluruh negara bagi urusan melapor diri seperti di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kedah, Bayan Lepas, Senai, Kuching, Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Caption.

SEPANG:Syed Saleh (tengah) menyantuni petugas haji yang berlepas ke Tanah Suci di Movenpick Hotel hari ini.Foto/NSTP Samadi Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 3:49 PM