TINJAUAN yang dilakukan di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TINJAUAN yang dilakukan di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) menyambut baik keputusan kerajaan melalui Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Khas Sara Hidup Negara (Naccol) pada 31 Januari lalu yang komited menyelesaikan isu bekalan serta pengeluaran makanan, terutama bagi ayam dan telur ayam.

Presidennya Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya juga menzahirkan penghargaan atas keputusan kerajaan yang membuka permit import ayam kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) dan pembukaan AP kepada pengusaha pasar raya besar.

"Kerajaan sudah menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan sebanyak 20 sen menjadikan harga siling ayam pada RM8.90.

"Bagi memastikan penternak ayam tempatan kekal berdaya saing, BRO mengharapkan kerajaan akan terus memastikan langkah intervensi atau pemberian subsidi yang saksama kepada mereka dapat dimuktamadkan segera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ameer berkata, kesungguhan yang ditunjukkan oleh kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jelas menyatakan keseriusan beliau menangani isu kenaikan harga barangan.

"Kami menyatakan komitmen dan usaha bagi memastikan aspirasi kerajaan bagi memastikan kawalan harga barangan dapat dicapai.

"Justeru itu, rakyat dan peniaga akan dapat manfaat seiring dengan keputusan yang dibuat berkenaan," katanya yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 8:05 PM