SKIM Insurans Pertanian atau Agromakanan dapat beri perlindungan terutama ketika ditimpa musibah.
SKIM Insurans Pertanian atau Agromakanan dapat beri perlindungan terutama ketika ditimpa musibah.
Oleh Mahaizura Abd Malik


Putrajaya: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bakal melancarkan satu skim perlindungan khas musibah yang akan memanfaatkan petani, penternak dan nelayan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya dengan kerjasama agensi termasuk Agro Bank sedang merangka keperluan mewujudkan Skim Insurans Pertanian atau Agromakanan untuk memberi perlindungan kepada golongan berkenaan terutama ketika ditimpa musibah.

Katanya, skim perlindungan takaful itu satu bentuk bantuan bagi memelihara kebajikan golongan sasar apabila ditimpa musibah termasuk bencana, serangan penyakit serta ancaman lain seperti ketidaktentuan cuaca yang menjejaskan hasil pengeluaran.

"Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan besar saban tahun misalnya dalam Rancangan Malaysia ke-12, sebanyak RM18 juta peruntukan subsidi bencana alam disalurkan untuk membantu pesawah, peladang, petani dan penternak yang terjejas akibat bencana alam.

"Namun, kita berpandangan ini tidak boleh dilakukan berterusan dan perlu ada satu bentuk insurans untuk melindungi golongan ini seperti yang diamalkan di luar negara termasuk Filipina, Vietnam, China, Indonesia dan Eropah.

"Jadi kita melihat keperluan insurans ini amat penting dalam industri ini dan inisiatif ini sedang kita usahakan bersama agensi berkaitan malah kita mengalu-alukan pemain industri insurans untuk bersama-sama menyediakan rangka pelan bagi mewujudkan satu polisi khas industri pertanian," katanya pada sidang media khas sempena setahun pencapaian kementerian itu.

Katanya, kementerian juga komited memartabatkan industri agromakanan supaya kekal menjadi satu industri yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi beberapa pendekatan baharu sepanjang tahun ini.

"Ketika ini kita sedang merancang Dasar Agromakanan Negara 2.0 yang akan dilancarkan dalam masa terdekat untuk tempoh pelaksanaan 2021 hingga 2030 dengan salah satu manfaatnya meningkatkan pendapatan petani, penternak, nelayan dan usahawan tani.

"Kita juga bakal melancarkan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara untuk mengukuhkan keselamatan makanan negara dalam meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Global Food Security Index (GFSI).

"Selain itu, tahun ini juga kita akan melancarkan Pelan Pembangunan Perikanan Negara dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna untuk tempoh 10 tahun serta Skim Pembiayaan Agropreneur Muda (Agro-YES)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 10:59 AM