BANGUNAN Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang menyiasat satu sindiket yang disyaki mendalangi lima skim pelaburan tidak berlesen, termasuk dua skim firma klon, yang sudah menipu ratusan pelabur dengan jumlah lebih RM7 juta dalam aktiviti pelaburan yang tidak berlesen.

SC dalam kenyataan hari ini berkata, susulan aduan dan maklumat daripada orang ramai, SC baru-baru ini menyerbu beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan merampas rekod dan peranti yang digunakan oleh sindiket itu.

"SC turut merampas pelayan (server) yang digunakan sindiket itu dalam menjalankan skim penipuan.

"Siasatan sedang dijalankan atas kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007," katanya.

Menurut SC, siasatan awal menunjukkan sindiket berkenaan sudah menjalankan sekurang-kurangnya lima skim pelaburan tidak berlesen sejak 2016 iaitu Amal Trust (juga dikenali sebagai Wakala Ventures atau AML Global); Asia Equity Ventures; Equity Global Business; Lindale Ventures dan Waheed Ventures (turut dikenali sebagai Waheed Trading atau Wadeed Global Ventures).

Orang ramai yang sudah berurusan dengan skim tidak berlesen ini atau dengan wakilnya diminta untuk tampil memberikan maklumat yang berkaitan kepada pihak SC dengan menghubungi 012-6113519 atau e-mel [email protected].

"Kesemua lima skim ini sudah dimasukkan ke dalam Senarai Peringatan Pelabur SC dan SC turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyekat laman web yang berkaitan.

"SC ingin mengingatkan para pelabur supaya sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko. "Pelabur juga disarankan agar mendapatkan bimbingan penasihat berlesen yang sah," katanya.

Katanya, pelabur juga digesa mengesahkan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan melalui laman web SC di: - www.sc.com.my/regulation/licensing/licensed-and-registered-persons dan - www.sc.com.my/development/digital/list-of-registered-recognized-market-o....

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 4:50 PM