Kolej FELCRA.
Kolej FELCRA.

Kolej FELCRA terus mengorak langkah dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan memenuhi keperluan pasaran kerjaya.

Kolej FELCRA merupakan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik penuh FELCRA Berhad agensi di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui anak syarikatnya iaitu FELCRA Education Services Sdn Bhd.

Kolej FELCRA yang ditubuhkan pada 25 Mei 2012 adalah bertujuan untuk merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat ilmu di peringkat serantau di samping memperkembangkan obligasi sosial (CSR) dan imej korporat FELCRA Berhad selaras dengan moto Kolej FELCRA iaitu " Membina Masa Hadapan Dengan Pendidikan".

Ketua Eksekutif Kolej FELCRA, Eisa Mohamed berkata Kolej FELCRA menawarkan dua kategori program iaitu Program Dalaman dan Program Usahasama UiTM.

Katanya menerusi Program Dalaman, Kolej FELCRA menawarkan tujuh kursus Diploma Teknologi Pertanian, Diploma Pengurusan Pasca-Tuai, Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma Pengurusan Sumber Manusia, Diploma Pengurusan Amalan Halal, Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Sijil Pendidikan Awal Kanak-kanak.

Bermula tahun 2021, Kolej FELCRA juga memberi peluang serta menyediakan tempat untuk anak-anak warga FELCRA Berhad khususnya dan masyarakat Luar Bandar.

Ia terbuka kepada semua warga Malaysia mendapatkan latihan kemahiran dan kecekapan supaya Warga Belia Luar Bandar memiliki kemahiran dan jati diri yang tinggi serta akan lebih berdaya saing.

Eisa berkata, kebanyakan program yang ditawarkan adalah berkaitan perladangan dengan memberi penekanan sebanyak 60 peratus teori dan 40 peratus amali.

"Walaupun hanya 40 peratus diperuntukkan untuk pembelajaran secara amali, namun sebagai institusi yang berkaitan dengan perladangan, pembelajaran yang diterapkan adalah berdasarkan pembelajaran industri.

"Kebanyakan pembelajaran dijalankan di ladang FELCRA sendiri dan pastinya pelajar di beri pendedahan yang banyak berkaitan operasi ladang dengan lebih menyeluruh termasuk menguruskan ladang, pengurusan tenaga kerja, jentera, penjagaan pokok, baja, racun dan banyak lagi.

"Disamping itu, kita juga mempunyai kebun sayuran, ladang ternakan yang turut diusahakan. Ia secara sekali gus membolehkan pelajar 'hand on' kepada dunia pertanian dan perladangan secara langsung," katanya.

Bukan itu saja, Eisa berkata jalinan kerjasama strategik bersama rakan akademik, beberapa buah institusi dan pihak industri membolehkan pelajar Kolej FELCRA dalam semua program mendapat pendedahan terus dari pihak industri.

"Semua program yang ditawarkan mendapat kerjasama dari pelbagai pihak dari pelbagai segi termasuklah untuk memperluaskan lagi peluang kepada pelajar.

Program Usahasama UiTM misalnya, walaupun silibus dan pemarkahannya akan di buat UiTM, namun pelajarnya akan diajar oleh pensyarah kita yang pakar dengan bidang masing-masing," katanya.

Kampus Kolej FELCRA yang terletak di Bandar Baru Seberang Perak, Kampung Gajah, Perak itu mampu menampung sehingga 1,200 pelajar dalam satu masa.

Eisa berkata, pihaknya akan menyebar luas promosi bagi memberi peluang kepada pelajar dari dalam dan luar bandar untuk meneruskan pengajian Kolej FELCRA.

"Pada 2021, pengambilan pelajar adalah seramai 200 orang manakala pada 2022 pula adalah seramai lebih 300 pelajar. Tahun ini pula, sasaran kita adalah seramai 647 pelajar.

"Kita meletakkan sasaran pelajar lebih berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana sistem pembelajaran kini sudah kembali normal. Kita juga menjangkakan masyarakat sedar peluang belajar kini terbuka luas," katanya.

Selain itu, tahun ini Kolej FELCRA memperluaskan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak antaranya Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) Negeri Perak, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) Negeri Perak, Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) Negeri Pahang dan banyak lagi.

"Kita akan berkunjung ke kem-kem tentera dan rumah-rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar sebagai langkah promosi dan menjelaskan peluang belajar yang ditawarkan Kolej FELCRA kepada kumpulan sasar kita termasuk Program Latihan Kemahiran dan Kecekapan," katanya.

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, layari https://www.kolejFELCRA.edu.my/

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 10:59 AM