Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah terbesar di negeri ini apabila merampas lebih 300 kilogram (kg) syabu bernilai lebih RM10 juta di Kampung Batu Payung, di sini, Isnin lalu.

Kejayaan itu susulan penahanan lelaki berusia 49 tahun selepas dilihat memandu pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan di Membalua Batu 10, di sini, kira-kira 7.30 malam.

Terdahulu, suspek cuba melarikan diri ketika ditahan untuk pemeriksaan apabila bertindak memecut kenderaannya sehingga ke Kampung Batu Payung sebelum berjaya diberkas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, pemeriksaan awal ke atas kenderaan dinaiki suspek menemukan lima beg bagasi di bahagian penumpang belakang, sementara tujuh lagi beg bagasi berada di dalam 'bucket' belakang pikap itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas setiap beg bagasi terbabit secara keseluruhannya terdapat 290 bungkusan teh cina berwarna hijau bertulis 'GUANYINWANG'.

"Setiap bungkusan itu mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar keseluruhan sebanyak 303,155 gram bernilai RM10,914,000," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

DADAH jenis syabu seberat lebih 300 kilogram bernilai lebib RM10 juta yang dirampas pada Isnin. FOTO Abdul Rahemang Taiming
DADAH jenis syabu seberat lebih 300 kilogram bernilai lebib RM10 juta yang dirampas pada Isnin. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas dan dan Ketua Jabatan Siasatan Narkotik (KJSN) Sabah, Asisten Komisioner Lam Thian Huat.

Idris berkata, susulan penahanan suspek, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Berajaya, di sini, dan menyita wang tunai berjumlah RM27,000.

Menurutnya, pihaknya juga merampas pacuan empat roda Nissan Frontier selain wang simpanan dalam akaun bank berjumlah RM95,284.57 milik suspek.

"Suspek direman tujuh hari sehingga 15 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, pihak polis tidak menolak kemungkinan syabu itu dibawa masuk dari luar Sabah dipercayai menggunakan jalan laut.

Menurutnya, ia kemudian dipercayai akan diedar dan diseludup kepada rangkaian sindiket pengedaran dadah termasuk ke negara jiran.

Bagaimanapun katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang utama dan ahli sindiket terbabit.

"Polis sedang mengesan sumber dadah berkenaan diperolehi, selain mengenal pasti saki baki dadah atau harta milik suspek yang boleh dijadikan bukti untuk dikaitkan dengan kegiatan berkenaan.

"Kita juga mendapatkan bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi mengenal pasti rangkaian sindiket ini yang disyaki membawa masuk dadah dari negara asing (luar)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 5:13 PM