Nor Azizulkifli (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Nor Azizulkifli (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Nasrawati Syarifuddin


LELAKI Indonesia ditahan bersama-sama syabu seberat 2.05 kilogram (kg) bernilai RM140,000 di sebuah hotel di Sabindo Square, Tawau, Ahad lalu.

Dalam kejadian 12.05 tengah malam itu, suspek berusia 22 tahun terbabit ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Superintendan Nor Azizulkifli Mansor berkata, bertindak hasil maklumat awam dan risikan, sepasukan anggota melakukan pemeriksaan di sebuah hotel di Sabindo Square.

Beliau berkata, polis terserempak dengan suspek yang memegang sebuah bagasi di lobi hotel berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua bungkusan plastik teh Cina. Bungkusan itu mengandungi plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu," katanya pada sidang media, hari ini.

Nor Azizulkifli berkata, suspek dan dadah dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu termasuk dari mana suspek memperoleh bekalan dadah berkenaan.

"Suspek direman tujuh hari sehingga 2 Disember ini bagi membantu siasatan.

"Dia disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 6:35 PM