Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Peniaga di tingkat dua Pasar Tok Guru, Cabang Tiga, Pengkalan Chepa, di sini, mengeluh apabila perniagaan mereka tidak mendapat sambutan berikutan kekurangan pengunjung sekali gus menyebabkan pendapatan terjejas.

Tinjauan Harian Metro mendapati kira-kira 15 peniaga sahaja masih meneruskan perniagaan, manakala lebih 10 unit kedai di tingkat berkenaan kosong berikutan tiada penyewa.

Peniaga mendakwa sambutan pengunjung di tingkat dua berkurangan 50 peratus, sedangkan peniaga di bahagian bawah lebih bernasib baik kerana mempunyai ramai pelanggan.

Difahamkan, pasar berkenaan wujud sejak lebih 40 tahun lalu dan mempunyai lebih 100 peniaga sebelum dibina baharu dengan bangunan dua tingkat yang mula beroperasi sejak empat tahun lalu.

Peniaga barangan runcit, Hazani Mohd Daud, 52, berkata sebelum ini, dia berniaga di tingkat bawah selama lebih 15 tahun dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Katanya, selepas pasar baharu dibina, dia terpaksa berniaga di tingkat dua menyebabkan jumlah pelanggan berkurangan sebanyak 50 peratus berbanding ketika berada di bahagian bawah.

"Faktor itu menyebabkan jualan berkurangan sebanyak 50 peratus berikutan kurang pembeli. Walaupun pendapatan berkurangan, saya tetap berniaga kerana sudah mempunyai pelanggan tetap.

"Jualan harian saya kini bergantung kepada pelanggan tetap, selain turut membuat penghantaran ke rumah pelanggan. Sebagai peniaga, saya perlu kreatif mencari pelanggan dan tidak boleh mengharapkan jualan di pasar sahaja memandangkan kurang sambutan daripada pengunjung

Katanya, masalah itu berlaku berkemungkinan disebabkan pelanggan perlu 'memanjat' tangga di samping tidak banyak kedai beroperasi di tingkat dua.

Peniaga lain Nor Aswani Ibrahim, 40, berkata pasar berkenaan menjadi tumpuan pada hujung minggu dan cuti umum sahaja.

"Pada hari biasa, keadaan agak sunyi mungkin faktor orang bekerja menyebabkan kedai di bahagian atas kurang dikunjungi pelanggan.

"Disebabkan keadaan ini, saya hanya berniaga sehingga 2.30 petang sahaja, manakala peniaga kuih dan makanan sekitar 12 tengah hari," katanya.

Peniaga buah-buahan, Khatijah Daud, 68, berkata, kedainya di bahagian bawah tidak mengalami masalah pelanggan sekali gus pendapatannya tidak terjejas.

"Alhamdulillah, kami peniaga di bahagian bawah tidak mempunyai masalah dan tetap dikunjungi pelanggan," katanya yang berniaga di lokasi itu sejak lebih 40 tahun lalu.

Terdahulu, Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa mendakwa terdapat peniaga pasar berkenaan mengadu kepadanya bahawa mereka kurang pelanggan sejak bangunan baharu itu siap pada 2018.

Beliau yang memuat naik status di laman Facebooknya, kelmarin mendakwa ramai peniaga asal sudah tidak berniaga kerana kecewa dengan keadaan itu.

Lebih 10 unit kedai  di tingkat dua di Pasar Tok Guru, Cabang Tiga, Pengkalan Chepa di sini, kosong berikutan tidak mendapat sambutan. FOTO  HIDAYATIDAYU RAZALI.
Lebih 10 unit kedai di tingkat dua di Pasar Tok Guru, Cabang Tiga, Pengkalan Chepa di sini, kosong berikutan tidak mendapat sambutan. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 12:30 PM