Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Sejak tiga hari lalu, bekalan ikan sudah mulai berkurangan, namun masih mencukupi untuk menampung keperluan pelanggan selain harga yang dijual juga masih stabil," kata peniaga ikan, Nik Azli Nik Hassan, 44.

Menurutnya, peralihan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh sedikit-sebanyak menjejaskan pengeluaran bekalan ikan disebabkan nelayan tidak dapat keluar ke laut menangkap ikan.

"Hampir setiap hari saya mengambil bekalan ikan daripada pembekal di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong untuk menampung keperluan pengguna, namun pada minggu lalu beberapa jenis ikan seperti ikan selar dijual lebih murah disebabkan terdapat lambakan.

"Bagaimanapun, bekalan sotong pula sudah lebih seminggu tidak diperoleh daripada pembekal disebabkan tidak ada bekalan, manakala udang yang diperoleh terpaksa dihadkan berikutan mengalami masalah kekurangan bekalan.

"Dijangkakan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi bekalan ikan akan sedikit terjejas disebabkan keadaan laut yang bergelora sekali gus nelayan tidak dapat turun ke laut dan pada ketika itu hanya ikan sejuk beku sahaja yang dijual," katanya.

Tinjauan yang dilakukan di Pasar Tok Guru Cabang Tiga, Pengkalan Chepa pula mendapati keperluan barangan basah terutamanya bekalan ikan masih lagi mencukupi untuk menampung keperluan pengguna selain harganya juga stabil.

Peniaga ikan di pasar itu, Mek Yah Abdullah, 54, berkata, pengguna dinasihatkan supaya tidak bimbang atau membuat pembelian panik kerana setakat ini bekalan ikan masih mencukupi.

"Walaupun berlaku peralihan Monsun Timur Laut bermula November, namun itu tidak bermakna bekalan ikan terputus terus, sebaliknya ia hanya akan menyebabkan kekurangan bekalan sahaja.

"Namun memang diakui, pada musim tengkujuh memang sukar untuk mendapat bekalan kerana ramai nelayan tidak ke laut dan antara ikan yang susah diperoleh adalah ikan merah dan tenggiri," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Norzie Che Hamid, 59, berkata, sejak seminggu lalu bekalan ikan segar masih senang diperoleh di pasar basah selain harganya juga tidak terlalu mahal.

"Apabila tibanya musim tengkujuh pada setiap tahun, masalah kekurangan bekalan basah seperti ikan, sotong dan udang bukan satu perkara yang baharu kerana kebanyakan nelayan sudah tidak ke laut.

"Namun, saya berharap peniaga di luar sana jangan menjadikan faktor cuaca di musim tengkujuh sebagai alasan untuk mereka menaikkan harga barang yang dijual sesuka hati sehingga membebankan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 3:01 PM
NIK Azli Nik Hassan, 44. melayan pelanggannya membeli keperluan barangan basah terutamanya bekalan ikan di Pasar Tok Guru Cabang Tiga, Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NIK Azli Nik Hassan, 44. melayan pelanggannya membeli keperluan barangan basah terutamanya bekalan ikan di Pasar Tok Guru Cabang Tiga, Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar