Ariffin Samsudin (tengah) akui pihaknya aksanakan pemeriksaan secara berterusan dan berkala bagi memastikan bekalan ayam mencukupi di Kuala Lumpur.
Ariffin Samsudin (tengah) akui pihaknya aksanakan pemeriksaan secara berterusan dan berkala bagi memastikan bekalan ayam mencukupi di Kuala Lumpur.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bekalan ayam dalam kawasan Parlimen Kuala Lumpur masih stabil dan tidak terputus sepenuhnya walaupun terdapat pengurangan bekalan yang diterima melalui pembekal.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, pihaknya melaksanakan pemeriksaan secara berterusan dan berkala bagi memastikan bekalan ayam mencukupi di pasar awam, pasar raya dan kedai runcit di Kuala Lumpur sejak isu ini berlaku sehingga hari ini.

Menurutnya, seramai 90 Pegawai Penguat Kuasa serta 83 Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDNHEP Kuala Lumpur sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan berkala meliputi pemborong dan pembekal utama, pasar awam, pasar raya dan kedai runcit.

"Sekiranya terdapat pasar raya atau peruncit yang tidak mempunyai bekalan melalui pemeriksaan berkala Pegawai Penguat kuasa dan Pegawai Pemantau Harga (PPH), KPDNHEP akan mengenalpasti punca dan masalah bekalan yang timbul, serta tindakan segera akan diambil supaya bekalan dapat dipulihkan.

"KPDNHEP juga sentiasa memantau bekalan ayam dan telur ayam melalui 55 Kedai Runcit Terpilih yang dilantik dijadikan petunjuk (DDR Dedicate dRetailer)," katanya pada sidang media selepas membuat pemantauan bekalan ayam di St Rosyam Mart Setiawangsa, di sini, hari ini.

Ariffin berkata, premis terbabit dijadikan penunjuk keberadaan bekalan semasa di seluruh Parlimen di Kuala Lumpur.

"Semalam, jumlah bekalan ayam yang dilaporkan adalah berjumlah 37,819 kilogram (kg).

"Hasil pemantauan yang dilakukan di seluruh Parlimen di Kuala Lumpur juga mendapati bekalan ayam masih stabil dan tidak terputus sepenuhnya walaupun terdapat pengurangan bekalan yang diterima melalui pembekal," katanya.

Beliau berkata, jumlah bekalan didapati semakin pulih berbanding sebelum ini.

"Bekalan telur juga menunjukkan jumlah peningkatan dan trend sama semalam iaitu jumlah stok semasa adalah sebanyak 766,595 biji pelbagai gred.

"Kementerian juga melaksanakan Penentuan Harga Maksimum Ayam Dan Telur yang dikawal harga maksimum borong dan runcit sebagai langkah membendung kenaikan harga dan pada masa yang sama menstabilkan harga barangan itu," katanya.

Katanya, KPDNHEP Kuala Lumpur ingin menasihatkan semua peniaga supaya bertimbang rasa dan menjual pada harga yang berpatutan.

"Sekiranya harga kos yang diperoleh menurun, peniaga amat digalakkan menjual pada harga yang lebih rendah daripada kebiasaan.

"KPDNHEP Kuala Lumpur juga memohon kerjasama pihak pasar raya dan peniaga supaya memberikan sokongan serta kerjasama pada pihak kementerian dalam isu bekalan dan harga ayam ini serta tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 12:07 PM