HAKIMAH Mohd Yusoff. FOTO Bernama
HAKIMAH Mohd Yusoff. FOTO Bernama
Samadi Ahmad


Putrajaya: Penyembelihan halal dilakukan Thomas Foods Industries di Australia mematuhi keperluan standard penyembelihan halal Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, ia juga mematuhi peraturan ke atas haiwan yang ditetapkan pihak berkuasa Australia.

Beliau berkata, susulan laporan sebuah akhbar tempatan yang mendedahkan rumah sembelihan di Australia bekal daging tidak ikut syariat Islam, Jakim meminta penjelasan dari Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc (SICHMA).

"Kami juga dimaklumkan Pegawai Atase Halal Jakim di Canberra yang menjalankan audit berkala ke atas Thomas Foods Industries pada 2 Mac lalu bahawa ia mematuhi peraturan ditetapkan.

"SICHMA juga sudah membuat kenyataan akhbar pada 12 April lalu dan memberi penjelasan serta menafikan dakwaan ketidakupayaan organisasi itu dalam membuat pengesahan halal ke atas rumah sembelihan di bawah seliaan mereka," katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, SICHMA juga memaklumkan mereka sudah membuat pengauditan berkala ke atas Thomas Foods Industries.

Katanya, pihak berkuasa Australia iaitu Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE) yang memberi maklum balas segera dalam isu ini menegaskan pihaknya sudah memulakan siasatan memandang dakwaan ini serius.

"DAWE menegaskan Australia mempunyai peraturan ketat yang mengawal keseluruhan proses penyediaan daging halal untuk di eksport dan hanya produk daging yang telah memenuhi peraturan dan keperluan eksport serta mematuhi keperluan negara pengimport sahaja yang akan dibenarkan untuk dieksport," katanya.

Hakimah menjelaskan, prosedur pengiktirafan pengeksportan daging ke Malaysia seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia adalah termasuk aspek kebajikan haiwan sembelihan dan aspek yang sama juga adalah menjadi keutamaan bagi pihak berkuasa di Australia.

Katanya, Malaysia mempunyai polisi mengenai kebajikan haiwan dan diperkukuhkan lagi dengan keperluan halal yang ditetapkan oleh Jakim.

"Jakim akan memanggil Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Perkemas), pada masa sama akan mendapatkan maklumat lanjut dari pihak berkuasa di Australia bagi membantu menangani isu ini," katanya.

Menurutnya, isu ini bermula dengan dakwaan yang dibuat seorang penulis di Internet pada 1 April 2022 yang mendedahkan mengenai ketidakupayaan sebuah badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim di Australia iaitu SICHMA bertajuk 'Jakim Still Turning a Blind-eye to Halal Integrity Issues'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 11:08 PM