FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggantung kelulusan yang diberikan kepada loji sembelihan 'Thomas Foods International Lobethal' di Australia berkuatkuasa serta-merta sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperoleh.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pada masa sama, 'Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc' (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu akan diberi surat tunjuk sebab.

SICHMA juga berhadapan dengan kemungkinan untuk dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Menurutnya, keputusan penggantungan itu diadakan selepas pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV)

dan 'Department of Agriculture, Water and the Environment' (DAWE), Australia mengadakan sidang khas pada 13 Mei lalu.

"Jakim dan JPV memberi perhatian serius berkenaan dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh pusat sembelihan itu yang telah mendapat kelulusan untuk mengeksport daging halal ke Malaysia.

"Jakim dan JPV menegaskan, prosedur pengiktirafan loji pemprosesan luar negara oleh kerajaan Malaysia adalah melalui satu prosedur yang ketat dan terperinci," katanya pada kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, seorang bekas pekerja di pusat penyembelihan di Australia yang diiktiraf Jakim mendakwa, berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) keselamatan makanan, kebersihan dan piawaian halal.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai 'The Hood Man' itu mendakwa diberhentikan kerja dalam tempoh 24 jam manakala ahli keluarganya turut diugut susulan pendedahan mengenai isu berkenaan.

Pada masa sama, menurut Hakimah, proses pengiktirafan loji sembelihan dan loji pemprosesan luar negara diadakan pengauditan secara sistematik oleh pegawai terlatih JPV dan Jakim.

Proses pengauditan ke atas loji sembelihan yang dilaksanakan adalah secara berjadual.

Ia menggunakan piawaian yang ditetapkan untuk kualiti dan keselamatan produk berdasarkan SOP dalam standard Malaysia untuk 'Good Manufacturing Practices' (GMP) MS 1514:2009, Standard Malaysia untuk 'Hazard Analysis Critical Control Point' (HACCP) MS 1480:2018, termasuk juga Arahan Prosedur Tetap Veterinar Malaysia (APTVM)23(h):1/2014 (Pengauditan Loji Sembelihan dan Loji Pemprosesan).

Katanya, bagi aspek pematuhan halal, ia mengguna pakai 'Malaysia Standard Halal Food - Production, Preparation, Handling and Storage - General Guidelines' (MS1500:2009) dan 'Malaysian Protocol for The Halal Meat and Poultry Production'.

"Proses kelulusan pula perlu melalui empat kali pembentangan dan penilaian sebelum keputusan diberikan," katanya.

Hakimah menjelaskan, pembentangan dan penilaian di peringkat Jakim membabitkan Jawatankuasa Penilaian Pengiktirafan Halal Luar Negara dan Jawatankuasa Pengesahan Pengiktirafan Halal Luar Negara (JPPHLN).

Menurutnya, bagi pembentangan dan penilaian seterusnya, ia adalah di peringkat JPV dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) iaitu Jawatankuasa Teknikal Pengiktirafan Abatoir & Loji Pemprosesan Luar Negara (JTPALLN) dan Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Import dan Eksport Keluaran Pertanian (JKEIP) peringkat Mafi.

Katanya, selepas kelulusan diperoleh, pemantauan loji sembelihan diadakan oleh JPV, Jakim dan badan persijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim bagi memastikan standard dan prosedur Malaysia dipatuhi.

"Mengenai kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh loji sembelihan berkenaan yang telah mendapat kelulusan untuk mengeksport daging halal ke Malaysia, Jakim telah menjalankan siasatan ke atas loji sembelihan dan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa negara berkenaan.

"Jakim juga telah mengatur pertemuan dengan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat Malaysia (Pekemas) dalam masa terdekat bagi membincangkan dan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 1:41 PM