DR Nomee Ashikin (empat kiri) pada Majlis Pelancaran Pertubuhan Bahu Yang Membantu (Helping Shoulder) Cawangan Perak dan forum perangi pedofilia di Dewan Dato' Ahamed Hambal, Bota Kanan, Bota. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
DR Nomee Ashikin (empat kiri) pada Majlis Pelancaran Pertubuhan Bahu Yang Membantu (Helping Shoulder) Cawangan Perak dan forum perangi pedofilia di Dewan Dato' Ahamed Hambal, Bota Kanan, Bota. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi

Bota: Kerajaan perlu memperketatkan undang-undang termasuk hukuman lebih berat terhadap pesalah pedofilia bagi membendung jenayah seksual sekali gus melindungi hak asasi kanak-kanak.

Presiden Pertubuhan Bahu Yang Membantu Lilaruzaini Mohd Hussain berkata, ia termasuk tindakan lebih tegas terhadap pelaku supaya tidak terus berlaku dalam masyarakat.

Menurutnya, selain itu, pendidikan berhubung jenayah itu juga perlu diketengahkan dalam silibus pembelajaran di awal pendidikan supaya kanak-kanak peka dengan situasi terbabit.

"Jenayah pedofilia masih kurang diberi perhatian oleh sesetengah pihak. Kalau kita lihat di negara luar, mereka amat mengambil perhatian tentang akta dan hukuman yang dikenakan.

"Justeru, perkara ini perlu diberi perhatian dan kita mahu ia diperangi secara konsisten dengan akta serta hukuman lebih berat kepada pelaku.

"Kami berbesar hati jika dapat bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk memerangi jenayah seksual kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Pertubuhan Bahu Yang Membantu Cawangan Perak dan Forum Perangi Pedofilia oleh isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi di Bota Kanan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Mohd Nizar Zakaria, Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin dan Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Sharil Mohamed.

Lilaruzaini, beberapa negara Asia seperti Indonesia menjalankan hukuman khusus kepada pesalah pedofilia dengan mengenakan hukuman 'chemical casrtration'.

"Ada yang mengenakan 'chemical castration' iaitu (kembiri) secara suntikan kimia kepada pesalah yang dapat memperlahankan imaginasi kerana mereka masih ada nafsu dan fantasi selepas dibebaskan (dari penjara).

"Hukuman itu boleh dijadikan cadangan selain memantau pergerakan dan menjarakkan pelaku dengan kanak-kanak.

"Bagaimanapun, ia masih dalam penyelidikan dan belum dibawa kepada pihak berkaitan," katanya.

Sementara itu, Mohd Nizar berkata, LPPKN bersedia memberikan khidmat nasihat kepada mana-mana pihak sekiranya tingkah laku anak mereka boleh membawa kepada jenayah seksual terbabit.

"LPPKN sentiasa membantu dalam usaha mencegah jenayah pedofilia dengan menyediakan kaunseling bukan hanya untuk golongan ibu bapa, malah untuk kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 4:58 PM