Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melancarkan talian khas Helpline FamilyCare@LPPKN, 1-800-82-0300 bagi membantu isu kekeluargaan, pasangan dan perkahwinan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kewujudan talian Helpline FamilyCare@LPPKN itu menjadi alternatif terbaik di media sosial yang mungkin diguna pakai sebagai saluran tunggal pengguna Twitter dan Facebook bagi meluahkan apa jua masalah.

Katanya, sejak diperkenalkan September lalu, sebanyak 533 kes diterima melalui talian khas Helpline FamilyCare@LPPKN dan 40.7 peratus diklasifikasikan kes masalah keluarga (perkahwinan, komunikasi, penceraian dan anak-anak), manakala 36.3 peratus membabitkan kes kesihatan mental iaitu tekanan, kemurungan, kebimbangan dan kesunyian.

"Talian bebas tol Helpline FamilyCare@LPPKN adalah perkhidmatan kaunseling perkahwinan dan keluarga oleh kaunselor berdaftar yang diwujudkan LPPKN bagi menangani isu kekeluargaan, pasangan dan perkahwinan secara tele-kaunseling (panggilan telefon) dan bersemuka secara maya (e-kaunseling).

"Talian Helpline FamilyCare membolehkan masalah dikongsikan secara profesional serta membimbing klien dalam mengambil keputusan selanjutnya.

"Talian khas ini juga boleh mewujudkan keharmonian dalam setiap sesi perkongsian yang dikendalikan oleh kaunselor LPPKN yang berpengalaman.

"KPWKM menyasarkan akan menerima lebih 1,000 pemanggil menjelang akhir November ini berikutan pandemik yang mencetuskan banyak isu rumah tangga," katanya ketika sidang media selepas melancarkan Talian Helpline FamilyCare@LPPKN di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM Mohd Yusri Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah LPPKN Abdul Shukur Abdullah.

LPPKN melantik seramai 18 orang kaunselor keluarga bertauliah dan mempunyai kredibiliti dalam bidang psikologi bagi menyantuni klien secara dalam talian.

Rina berkata, mereka yang mempunyai masalah dan ingin mendapatkan khidmat kaunselor tidak perlu risau kerana rahsia serta maklumat peribadi dirahsiakan.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan kementerian mengenai Bajet 2022 yang diumumkan semalam, Rina berkata, pihaknya begitu berterima kasih kepada kerajaan kerana banyak insentif untuk golongan wanita diberikan.

"Kerajaan begitu prihatin terhadap kemaslahatan wanita termasuk memperkasakan Bahagian D11 (Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Satu lagi pengiktirafan kerajaan terhadap wanita apabila mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat penyenaraian awam dan pelaksanaan Program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah.

"Banyak lagi insentif untuk wanita diberikan, justeru sudah pasti kita akan memantau pelaksanaan semua ini sehingga ke akar umbi," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik inisiatif kerajaan bagi memberi vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun kerana ia demi keselamatan dan kebaikan kanak-kanak.

"Sudah pasti apabila diputuskan, ia sudah mendapat cadangan dan kelulusan daripada pakar-pakar kesihatan (lebih arif mengenai kesihatan).

"Kita akan bekerjasama dengan kementerian pendidikan kerana kita tahu ada ramai kanak-kanak yang berusia tujuh hingga 12 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 4:56 PM
Rina (dua dari kiri) merasmikan pelancaran Talian Helpline FamilyCare@LPPKN di Kompleks Sukan Datuk Keramat, Kuala Lumpur hari ini. Foto Aziah Azmee
Rina (dua dari kiri) merasmikan pelancaran Talian Helpline FamilyCare@LPPKN di Kompleks Sukan Datuk Keramat, Kuala Lumpur hari ini. Foto Aziah Azmee