GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni

Miri: Ugut pecahkan kepala ibunya, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan di Kampung Husaja Jana pada 12.25 tengah hari, semalam.

"Tangkapan ke atas suspek dibuat susulan laporan diterima. Dia (suspek) dilaporkan mengamuk dan mengugut hendak memecahkan kepala ibunya.

"Suspek juga merosakkan motosikal milik mangsa (ibu) yang berusia 55 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam dalam kes berasingan, Alexson berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki pada petang semalam kerana disyaki membuat laporan palsu bagi mendapatkan tuntutan insuran, dengan mendakwa motosikal yang baru saja didaftar atas namanya hilang.

Katanya, soal siasat terhadap suspek mendapati keterangannya mencurigakan.

"Selepas selesai disoal siasat, suspek mengaku membuat laporan palsu dan tujuan laporan adalah untuk tuntutan insuran," katanya.

Katanya, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang laporan palsu dan mereka cerita yang tidak betul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 2:51 PM