GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuching: Mayat seorang lelaki dengan kesan tusukan di bahagian muka dan leher ditemukan di sebuah bangunan di Taman Tunku, Miri, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata laporan penemuan mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu diterima pada 9.30 pagi semalam daripada orang awam.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, seorang lelaki ditemukan dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di hadapan sebuah bangunan.

"Sejurus menerima laporan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah bergegas ke lokasi dan mangsa disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Alexson berkata susulan daripada siasatan yang dijalankan, polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu diminta tampil ke Balai Polis berdekatan bagi membantu siasatan atau menghubungi ASP Dorairajah di talian 085-433730.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 10:40 PM