GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Miri: Remaja berusia 16 tahun antara tujuh lelaki tempatan yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan penjualan rokok dan arak seludup.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, semua suspek berusia 16 hingga 47 tahun itu dicekup menerusi Op Kontraban di lima premis berasingan pada Rabu lalu.

Katanya operasi dijalankan oleh Pasukan Biro Jenayah Hidupan Liar/ Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman bersama-sama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 Miri.

"Kesemua suspek ditahan di lima premis berasingan yang disyaki terbabit dengan penjualan rokok dan minuman beralkohol tanpa cukai.

"Hasil pemeriksaan di kelima-lima premis, polis merampas pelbagai minuman beralkohol tanpa cukai dan rokok pelbagai jenama tanpa cukai yang dianggarkan bernilai RM3,616,856," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, kesemua suspek ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut di mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 2:19 PM