GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Dua lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki warga emas maut ditikam dalam kejadian di kawasan semak berhampiran Jalan Song Ban Kheng, di sini, petang semalam.

Penahanan dua lelaki berusia 50 dan 60-an itu dibuat hari ini ketika kedua-dua suspek mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM) serta perkarangan Klinik Kesihatan Berapit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Assiten Komisioner Tan Cheng San, berkata dua suspek warga tempatan itu mengalami kecederaan dipercayai berkaitan dengan kejadian yang menyebabkan seorang lelaki warga emas berusia 70-an maut akibat ditikam menggunakan senjata tajam.

"Sebelum itu, polis menerima maklumat dari orang awam pada jam 7.45 petang semalam memaklumkan terjumpa seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di bahagian badan.

"Polis kemudian bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan pemeriksaan dan mangsa sudah meninggal dunia, sebelum siasatan lanjut mendapati mangsa yang juga warga tempatan maut akibat kecederaan parah disyaki ditikam menggunakan senjata tajam.

"Bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis berjaya menahan kedua-dua suspek yang sedang mendapatkan rawatan di HBM dan Klinik Kesihatan Berapit akibat kecederaan yang dialami mereka dalam kejadian terbabit," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Cheng San berkata, punca kejadian itu dipercayai berikutan suspek tidak berpuas hati dengan mangsa sehingga berlakunya pergaduhan yang akhirnya menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian.

"Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai 10 rekod lampau membabitkan tiga kes jenayah dan tujuh rekod narkotik, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod.

"Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 7:20 PM