Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika sidang media mengenai rampasan kabel elektrik di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika sidang media mengenai rampasan kabel elektrik di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Oleh Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Dua lelaki yang terbabit dengan kes curi kabel elektrik di sebuah pusat beli belah di sini, 10 Mei lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, manakala dua lagi lelaki yang terbabit sama, menjadi saksi pendakwaan.

Kes terbabit pula dibicarakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menahan keempat-empat lelaki warga tempatan terbabit yang berusia 23 hingga 31 tahun di tiga lokasi berasingan di sekitar Dengkil, 12 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, tiga daripada suspek terbabit dikenal-pasti mencuri kabel di pusat beli belah itu jam 9 pagi, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta pengecaman oleh pengawal keselamatan bangunan berkenaan.

"Terdahulu, pengawal keselamatan terlihat tiga suspek ini sedang cuba mencuri kabel elektrik namun selepas ditegur, kesemuanya berlari menuju ke kereta sebelum menghilangkan diri.

"Pengawal keselamatan itu sempat melihat ke kenderaan berkenaan dan mengecam, seorang daripada suspek adalah bekas rakan setugasnya di pusat beli belah berkenaan," katanya pada sidang media di IPD Putrajaya hari ini.

Menurut beliau, hasil soal-siasat, ketiga-tiganya mengaku terbabit dalam kes kecurian kabel elektrik dengan menggunakan kereta sewa.

"Malah kami turut menahan suspek keempat yang juga anak kepada pemilik kedai barangan lusuh, iaitu pihak yang membeli kabel curi itu," katanya.

Menurut A Asmadi, pihaknya turut menyita sebuah kenderaan dan peralatan yang digunakan untuk melakukan jenayah terbabit.

"Antara yang dirampas ialah pemotong wayar, gergaji besi serta pemutar skru.

"Ujian saringan air kencing dijalankan mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine," katanya.

Semakan mendapati, ketiga-tiga suspek terbabit memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Mengulas lanjut, A Asmadi berkata, aktiviti curi kabel mula rancak berikutan pembeli menawarkan harga setinggi RM34 sekilogram.

"Kami syak mereka mencuri kabel ini untuk membeli dadah. Harga yang ditawarkan cukup untuk membeli bahan terlarang itu.

"Berdasarkan resit yang kami temui, suspek memperoleh RM493 hasil jualan kabel elektrik itu," katanya.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius aktiviti curi kabel elektrik kerana jika tidak dibanteras, tidak mustahil ia 'merebak' ke bangunan kerajaan sekali gus mengganggu sistem komunikasi dan bekalan elektrik di pusat pentadbiran kerajaan ini.

Berikutan itu, A Asmadi menasihati orang ramai atau pekedai supaya berhati-hati dan menyelidik terlebih dahulu sama ada barangan yang dijual itu diperoleh daripada sumber sahih atau sebaliknya.

"Individu yang didapati membeli barangan curi itu boleh dihukum mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perkara ini diminta menghubungi IPD Putrajaya di talian 03-88862145, Volunteer Smart Phone Patrol (VSP) dan polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 1:10 PM