NUR Qurratu'ain dan Muhammad Dhiyaurrahman teruja menerima tawaran mengerjakan ibadah haji ke Tanah Suci tahun ini. FOTO Samadi  Ahmad.
NUR Qurratu'ain dan Muhammad Dhiyaurrahman teruja menerima tawaran mengerjakan ibadah haji ke Tanah Suci tahun ini. FOTO Samadi Ahmad.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pasangan adik beradik mengakui berasa gementar, pada masa sama teruja apabila terpilih menunaikan ibadah haji di Tanah Suci tahun ini.

Nur Qurratu'ain Mohd Rosdi, 27, dan adiknya Muhammad Dhiyaurrahman, 24, akan menunaikan haji dengan bapa Mohd Rosdi Ismail, 58 dan ibu mereka Fatiha Mustapha, 57, selepas menerima tawaran pada 25 April lalu.

Qurratu'ain yang bertugas dalam bidang teknologi maklumat di Maktab Tentera Diraja (MTD) berkata, ibunya sangat teruja selepas menerima surat tawaran dari Tabung Haji (TH), sekali gus merealisasikan hasrat menunaikan ibadah haji sekeluarga.

"Sejak kami kecil ibunya sudah mendaftar di TH iaitu pada 2008, malah duit hari raya juga turut disimpan dalam akaun TH.

"Perasaan gembira bercampur sedih kerana saya dan adik terpaksa meninggalkan pasangan masing-masing namun sudah membuat rayuan kepada TH agar membenarkan membawa pasangan," katanya ketika ditemui selepas membuat pengesahan terima tawaran mengerjakan haji di pejabat cawangan TH di Presint 2, di sini hari ini.

Tinjauan mendapati ramai bakal jemaah hadir ke pejabat cawangan TH di sini hari ini berbanding semalam disebabkan ramai yang masih bercuti di kampung halaman meraikan Aidilfitri.

Sejak Ahad lalu, sebanyak 123 cawangan TH di seluruh negara beroperasi bagi membolehkan bakal haji yang terpilih pada Musim Haji 1443H/2022M membuat urusan haji masing-masing.

Sementara Dhiyaurrahman dari Nilai, Negeri Sembilan berkata, peluang mengerjakan haji ini tidak akan dilepaskan selepas pernah menerima tawaran pada 2000 dan tertangguh disebabkan pandemik Covid-19.

Beliau yang juga penuntut sebuah institut pengajian tinggi swasta di Bangi berkata, dia memuji inisiatif diadakan TH bagi memudahkan bakal haji membuat urusan dengan menyediakan kaunter khas di pejabat cawangan.

"Sebaik menerima surat tawaran, kami sangat teruja kerana ia pengalaman pertama kami sekeluarga menjejakkan kaki di Tanah Suci.

"Dalam waktu sama kami juga sedang sibuk melakukan pelbagai persiapan," katanya.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, inisiatif itu bertujuan membantu bakal haji menghantar surat terima tawaran, buku rekod rawatan setelah pemeriksaan kesihatan dibuat dan pasport antarabangsa di pejabat cawangan TH berhampiran sehingga Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 5:04 PM