Siti Rohana Idris

Tumpat: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 16,377 saman kesalahan jalan raya di seluruh negara, sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 yang berakhir malam tadi.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, saman dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 89,490 kenderaan yang bermula 29 April lalu.

Katanya, daripada jumlah saman itu 776 disumbangkan lima kesalahan utama iaitu gagal mematuhi lampu isyarat (272) diikuti memotong barisan (206).

"Selain itu, sehingga semalam, sebanyak 58,182 saman dikeluarkan melalui sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas)," katanya pada sidang media selepas memantau pelaksanaan Op HRA 2022 di Jalan Kota Bharu-Pasir Pekan, di sini malam tadi.

ZAILANI (dua kanan) bersama anggotanya memeriksa motosikal ketika meninjau Op HRA yang dijalankan di jalan Kota Bharu-Pasir Pekan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ZAILANI (dua kanan) bersama anggotanya memeriksa motosikal ketika meninjau Op HRA yang dijalankan di jalan Kota Bharu-Pasir Pekan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Zailani berkata, kesalahan tersebut dikesan menerusi 45 kamera Awas membabitkan 29 kamera bagi tujuan memantau kesalahan melebihi had laju dan 16 kamera bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat.

Katanya, pihaknya melakukan penguatkuasaan dan advokasi secara berstrategik dengan rondaan serta pemeriksaan rawak di jalan utama dan lebuh raya persekutuan, selain melakukan penyamaran sebagai penumpang bas untuk mengesan pemandu yang melakukan kesalahan.

Terdahulu, operasi malam tadi memfokus kepada penunggang motosikal yang menjadi penyumbang tertinggi kepada kemalangan maut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 9:06 AM