Kemalangan yang meragut nyawa seorang lelaki manakala mencederakan anaknya. FOTO ihsan PDRM
Kemalangan yang meragut nyawa seorang lelaki manakala mencederakan anaknya. FOTO ihsan PDRM
Rosman Shamsudin


Tapah: Bapa maut manakala anak lelakinya berusia empat tahun patah kaki kanan selepas motosikal dinaiki dirempuh kereta dari arah bertentangan dalam kejadian di Kilometer 50, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Chenderiang, di sini, hari ini.

Kemalangan jam 4 petang menyebabkan Annuar Zakariah, 48, maut di tempat kejadian manakala anaknya yang juga pembonceng patah sedang dirawat di Hospital Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan mendapati dua beranak terbabit menaiki motosikal jenis Modenas Kriss manakala kereta jenis Perodua Axia dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun.

Menurutnya, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Batu Masjid, Temoh, Perak.

"Siasatan awal mendapati kereta terbabit dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur, memasuki lorong bertentangan dan merempuh motosikal terbabit.

"Penunggang cedera parah dan mayatnya dibawa ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat," katanya.

Menurutnya, bedah siasat bagi mengetahui punca kematian akan dijalankan esok selepas keputusan ujian Covid-19 diterima," katanya.

Katanya, pemandu kereta terbabit tidak cedera dan ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 10:37 PM