FOTO hiasan
FOTO hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Rakaman video terperinci berkaitan kesalahan trafik dilakukan pemandu kenderaan membantu memudahkan polis mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu terbabit.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, polis tidak menafikan video tular terbabit terutama yang direkod melalui 'dashcam' dibenarkan undang-undang dan diterima mahkamah membantu polis untuk proses pendakwaan.

Menurutnya, video yang tular itu memberi dua impak iaitu pertama memberi kesan kepada netizen supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan keduanya dengan rakaman itu boleh digunakan polis untuk pendakwaan di mahkamah.

"Cumanya masyarakat yang ingin membuat rakaman itu diminta lebih terperinci seperti waktu kejadian, lokasi dan lain-lain supaya memudahkan polis mengambil tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bakri Zainal berkata, sebagai contoh, baru-baru ini, pihak JSPT berjaya mengambil tindakan ke atas sebuah kereta yang memotong garisan berkembar kerana hasil rakaman dan maklumat diberikan terperinci.

"Jadi ambilah rakaman yang baik supaya memudahkan tindakan diambil ke atas pemandu yang melakukan kesalahan trafik.

"Saya juga menasihatkan pemandu memandu dalam keadaan berhemah dan menyelenggara kenderaan dengan baik sebelum memulakan perjalanan sepanjang musim perayaan ini," katanya.

Beliau berkata, rancang perjalanan mengikut jadual diberikan oleh syarikat konsesi lebuh raya supaya tidak terperangkap dalam kesesakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 3:56 PM