Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan rondaan dan pemantauan serta penguatkuasaan secara 'show off' atau terang-terangan di lebuh raya utama dalam membendung kegiatan lumba haram.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, pelbagai tindakan dilakukan untuk membendung gejala samseng jalanan itu namun dilihat semakin berleluasa saban hari.

Justeru, kataya, JSPT mengambil beberapa pendekatan antaranya meningkatkan kekerapan rondaan dan pemantauan oleh anggota peronda lebuh raya, lebih-lebih lagi sekiranya menerima maklumat adanya pergerakan sesuatu konvoi kenderaan.

"Maklumat seperti masa dan lokasi akan dapat membantu kita menggerakkan elemen penguatkuasaan khususnya bagi membanteras gejala samseng jalanan itu dengan lebih cekap dan efisyen.

"Selain itu, kita juga meningkatkan kekerapan tindakan penguatkuasaan secara 'show off' atau terang-terangan oleh anggota peronda lebuh raya agar pengguna melihat kehadiran polis," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai satu rakaman video di akaun Facebook kelmarin, yang menunjukkan beberapa kereta berlumba sesama sendiri di lokasi yang tidak dapat dikenal pasti.

Video berdurasi empat minit lapan saat itu dipercayai daripada rakaman 'dashcam' sebuah kenderaan yang berlumba dan kelihatan beradu kelajuan dengan beberapa kenderaan rakannya selain mencelah secara berbahaya antara kenderaan lain di lebuh raya itu.

Video berkenaan mendapat kecaman ribuan netizen pada ruangan komen dengan ada yang meminta PDRM mengambil tindakan sewajarnya terhadap kesemua pemandu kereta terbabit.

Bakri berkata, perbuatan berlumba di lebuh raya itu jelas melanggar undang-undang selain boleh mengundang bahaya dan padah kepada diri sendiri serta pengguna lebuh raya yang lain.

"Kita akan buat tindakan susulan untuk mengesan lokasi serta pelakunya dan setiap perbuatan yang melanggar undang-undang, pasti akan menerima pada dan kesannya.

"Tindakan sita kenderaan dalam tempoh masa yang lama akan dikenakan terhadap pelaku selain saman dengan kadar maksima bagi memastikan aktiviti sama tidak berulang," katanya.

Mengulas lanjut, Bakri berkata, JSPT akan menggandakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama syarikat konsesi lebuh raya di kawasan 'hot spot' lumba kereta haram.

Selain itu, JSPT juga akan membuat lebih banyak sekatan jalan raya di kawasan-kawasan berisiko tinggi berlakunya kegiatan itu sebagai isyarat kepada 'kaki lumba haram' berfikir dua kali kerana menyedari tindakan mereka sudah dihidu lebih awal oleh pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 8:49 PM