GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ramli Ibrahim


TIADA kemalangan maut direkodkan di laluan utama daerah Gua Musang sepanjang Ops Selamat Tahun Baharu Cina selama 15 hari bermula 18 Januari lalu.

Ia membabitkan laluan utama Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kuala Lipis, Lojing, Jeli dan Kuala Berang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, laluan itu kerap berlaku kemalangan maut setiap musim perayaan.

Katanya, ini selepas tindakan susulan diambil anggota trafik termasuk mempertingkatkan rondaan dan sekatan jalan raya sama ada musim perayaan atau hari biasa.

Beliau berkata, sehingga tamat Ops Selamat Tahun Baharu Cina semalam, 37 kes kemalangan dicatatkan tetapi tiada mangsa maut.

“Kalau nak dibandingkan, Ops sama tahun lalu mencatkan 57 kes kemalangan menyebabkan dua maut,” katanya dalam kenyataan di Gua Musang, hari ini.

Mohd Taufik berkata, daripada 37 kes kemalangan itu, hanya empat mangsa parah dan dua lagi cedera.

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan jalan raya juga diberi ketegasan yang utama bagi mengelakkan kecuaian hingga boleh menyebabkan kemalangan.

Katanya, dalam tempoh Ops Selamat itu 1,496 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Saman itu ada peningkatan sikit daripada Ops Selamat dalam tempoh sama tahun lalu iaitu 1,265 saman pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 1:12 PM