GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


Beluran: Pemilik bot nelayan tempatan dan tiga kru warga Indonesia kerugian RM65,000 selepas dipercayai diperas ugut sekumpulan penjenayah dipercayai dari negara jiran di perairan Pulau Jambongan, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, pada mulanya, bot dari Sandakan itu gagal dikesan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Beluran.

Menurutnya, polis kemudiannya menerima satu laporan rasmi daripada pengadu yang juga pemilik bot tetapi pada Rabu, kru bot berkenaan selamat tiba di Sandakan.

"Hasil siasatan awal mendapati, semasa tiga kru sedang menangkap ikan sebuah bot lain tiba-tiba muncul di tepi sebelah kanan bot berkenaan.

"Kru cuba memecut bot, tetapi seorang daripada suspek sudah berdiri di hadapan sambil didakwa mengacu senjata pistol dan mengarahkan mangsa memberhentikan bot berkenaan.

"Sebaik berhenti, lapan lelaki dilaporkan naik ke bot nelayan berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, lelaki berkenaan didakwa bersenjata pistol, manakala dua lagi lelaki bersenjata menyerupai M4 atau M16.

"Kedudukan bot nelayan itu masih di perairan Malaysia dan selepas suspek mengambil alih bot, sistem pengesanan lokasi (GPS) dan radio dirosakkan suspek.

"Mangsa kemudian dibawa bergerak masuk ke sekitar perairan Filipina serta perairan Malaysia.

"Pemilik bot yang juga pengadu menerima panggilan telefon daripada seorang mangsa menyatakan suspek ingin berunding.

"Hasil rundingan pemilik pengadu bersetuju dan sedia membuat bayaran sebanyak RM65,000 untuk mengelak daripada mangsa diambil tindakan undang-undang kerana menceroboh perairan Filipina.

"Wang tunai itu kemudiannya dihantar sendiri oleh pemilik bot ke perairan Filipina dan pada Selasa, semua mangsa dilepaskan tanpa mengalami apa-apa kecederaan atau hilang barang berharga.

"Telefon bimbit dan pasport yang dikumpul oleh suspek juga diserah semula," katanya.

Menurutnya, sepanjang mangsa ditahan mangsa tidak pernah dipukul atau diugut oleh suspek dan mangsa juga bebas bergerak di atas bot tanpa ada apa-apa sekatan.

"Lima suspek dipercayai pasukan keselamatan negara jiran dan tiga lagi orang awam berdasarkan pengakuan daripada suspek sendiri kepada mangsa.

"Kumpulan suspek berkenaan dilaporkan sedang menjalankan tugasan risikan di sempadan Malaysia dan Filipina.

"Mangsa memaklumkan seorang saspek memakai baju kalis peluru tertulis perkataan 'PULIS'," katanya.

Kasim berkata, semua suspek dipercayai adalah warganegara Filipina disebabkan loghat bercakap Bahasa Melayu yang agak tidak tersusun dan apabila suspek bercakap sesama sendiri dalam bahasa Suluk Filipina.

"Siasatan lanjut mendapati tiada unsur penculikan berlaku disebabkan semua tidak diugut atau dipukul sepanjang ditahan oleh suspek.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 1:37 PM