BOMBA melakukan pencarian di sekitar kawasan pesisir pantai.. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA melakukan pencarian di sekitar kawasan pesisir pantai.. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kudat: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut di perairan Bak-Bak, di sini, semalam.

Pada kejadian 6 petang itu, lelaki berusia 29 tahun terbabit dipercayai terjatuh dari bot, ketika sedang dalam perjalanan pulang ke Jeti Aseng.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.40 malam.

Katanya, sepasukan tiga anggota dan pegawai bersama van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan pantai.

"Pasukan operasi turut mendapatkan maklumat lanjut daripada ahli keluarga dan penduduk di kawasan sekitar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian gagal menemui mangsa dan terpaksa ditangguhkan pada 10.22 malam tadi.

"Operasi pencarian disambung semula pada 6 pagi tadi dan sebarang maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 8:50 AM