GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang pegawai bank terjerat dengan modus operandi licik Macau Scam apabila menyerahkan wang lebih RM600,000 kepada sindiket berkenaan.

Difahamkan, mangsa seorang wanita berusia 53 tahun pada mulanya mendapatkan panggilan daripada ejen insurans memaklumkan namanya digunakan untuk membuat tuntutan pampasan satu kes kemalangan, penghujung Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, mangsa disambungkan ke beberapa individu sehingga didakwa namanya terbabit dengan penggubahan wang haram.

"Mangsa mendapat panggilan kononnya daripada ibu pejabat satu syarikat insurans pada 26 Januari lalu yang memperkenalkan namanya sebagai Suraya Sani dan mendakwa ada individu membuat tuntutan pampasan kemalangan RM68,800 menggunakan nama mangsa.

"Mangsa memaklumkan tidak mempunyai sebarang insurans sebelum kononnya disambungkan ke Balai Polis Pudu dan bercakap dengan Sarjan Hairul Mohd Musa menggunakan talian 03-92850222," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Sarjan Hairul yang mengaku daripada Bahagian Siasatan Jenayah memberitahu mangsa bahawa maklumatnya sudah terdedah dan berkait dengan satu kes jenayah komersial di Sabah.

Menurutnya, sarjan itu menyambungkan panggilan kepada Inspektor Azrai dan memaklumkan mangsa terbabit dalam kegiatan penggubahan wang.

"Mangsa disambungkan lagi kepada Penolong Pendakwa Raya bernama Mastura di talian 011-39462446 dan menunjukkan waran tangkap terhadap mangsa," katanya.

Aibee berkata, mangsa membuat laporan polis, semalam dan hasil siasatan awal mendapati mangsa mengeluarkan wang daripada akaun ASNB sebanyak RM425,000 dan daripada KWSP sebanyak RM180,000.

Beliau berkata, wang itu kemudiannya dimasukkan ke dalam satu akaun bank.

"Mangsa yang terpedaya dengan sindiket sudah mendedahkan maklumat akaun itu kepada suspek menyebabkan semua wang lesap.

"Berikutan itu, siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 6:13 PM