NIK Muhammad Zawawi   (tengah) mengadakan lawatan  ke kawasan yang terjejas banjir. Foto ihsan Jabatan Pertanian Malaysia.
NIK Muhammad Zawawi (tengah) mengadakan lawatan ke kawasan yang terjejas banjir. Foto ihsan Jabatan Pertanian Malaysia.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kira-kira 5,550 orang Wira Agro di bawah Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin dari seluruh negara membabitkan semua subsektor agro makanan terkesan akibat banjir dengan anggaran kerugian berjumlah RM67.72 juta.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, jumlah itu berdasarkan laporan yang diterima sehingga kini dan Selangor mencatatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM11.88 juta membabitkan 851 orang Wira Agro.

Menurutnya,MAFI melalui pelbagai jabatan dan agensi masih melaksanakan penilaian bagi mengenal pasti kerugian sebenardialami oleh golongan sasar yang terkesan di mana jumlahnya dijangka akan terus meningkat.

Katanya, kementerian berharap Dana Bangkit Semula Keluarga Agro berjumlah RM100 juta dan Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) berjumlah RM80 juta serta Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) berjumlah RM12 juta disediakan kerajaan dapat memberikan nafas baharu kepada mereka yang terbabit banjir.

"Inisiatif ini diharap dapat membantu Wira Agro yang terkesan akibat bencana banjir untuk bangkit semula bagi memastikan sekuriti makanan Keluarga Malaysia terus terjamin dan kelangsungan perusahaan agro makanan terbela," katanya melalui kenyataan selepas tinjauan ke kawasan terlibat banjir dan menyantuni Wira Agro di daerah Hulu Langat, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia,Datuk Zahimi Hassan dan Pengarah Pertanian Selangor, Azhar Ibrahim.

Pada program itu beliau mengadakan lawatan ke kawasan tanaman cili fertigasi dan usahawan projek industri asas (IAT) bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Selangor.

Muhammad Zawawi berkata,Jabatan Pertanian Malaysia melalui skuad DOA Cakna turut mengadakan aktiviti pembersihan di tigalokasi projek Wira Agro yang terjejas banjir iaitu di Projek Fertigasi SungaiLui, Pusat Inkubator dan Projek IAT di Dusun Tua.

Katanya, bantuan bakul makanan melalui inisiatif MAFI Prihatin dan input pertanian turut disumbangkan kepada pengusaha yang terjejas bagi meringankan beban mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 12:50 PM