FOTO hiasan
FOTO hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang jurutera kerugian RM61,450 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), 8 April lalu.

Mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kulim menerima panggilan itu dari seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai LHDN yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai ke atas syarikat mangsa berjumlah RM36,600.90.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa yang juga lelaki berusia 25 tahun itu pada mulanya menafikan mempunyai tunggakan cukai berkenaan.

"Panggilan itu disambungkan kepada seorang lelaki mengaku sebagai Inspektor dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang untuk membuat pengesahan.

"Mangsa diarah memberikan maklumat peribadi miliknya dan suspek mengugut bahawa satu waran tangkap akan dikeluarkan kepadanya jika ingkar.

"Terpedaya dengan tipu helah suspek, mangsa diminta memindahkan wang miliknya ke akaun bank diberi untuk tujuan semakan bahawa sumber kewangan itu sama ada dari sumber kewangan yang sah. Mangsa mengaku mendedahkan maklumat perbankan akaun berserta kata laluan kepada suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, bermula pada tarikh 9 hingga 16 April 2022 lalu, mangsa memindahkan RM61,450 ke akaun berkenaan.

Katanya, mangsa juga diarahkan melapor diri setiap empat jam kepada suspek bagi memastikan mangsa berada di bawah kawalan suspek.

"Mangsa buat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu sebelum satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 4:51 PM