HAZANI Ghazali. FOTO Arkib NSTP
HAZANI Ghazali. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (KDNKA) berjaya menyelesaikan empat kes hasil tiga operasi membabitkan nilai rampasan RM9,296,086.

Pengarahnya, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, tiga operasi itu membabitkan Op Kontraban, Op Letup dan Op Bersepadu yang dijalankan bermula 20 April hingga kelmarin.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di bawah Op Bersepadu Khazanah (OBK), pasukan serbuan berjaya menahan dua lelaki di sebuah premis kediaman yang terletak di Setapak dan merampas dua burung spesies murai batu yang dianggarkan bernilai RM160,000.

"Dalam operasi itu juga pasukan serbuan berjaya mengesan stor yang menyimpan 186 kotak pelbagai jenis bunga api dan dianggarkan bernilai RM650,000 dengan keseluruhan rampasan bernilai RM810,000.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hazani berkata, dalam serbuan kedua di bawah Op Kontraban, sebuah premis perindustrian di Teluk Intan, Perak dikesan menjalankan kegiatan penyeludupan dan pengedaran rokok.

"Dalam operasi itu, pasukan serbuan menahan dua lelaki dan merampas sejumlah 13,133 karton rokok putih, 3,300 karton rokok kretek dipercayai diseludup masuk yang dianggarkan bernilai RM6,764,417 serta sejumlah wang tunai RM103,000 dan beberapa cek serta tiga kenderaan.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM6,976,130 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Beliau berkata, serbuan terakhir di bawah Op Kontraban pula menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Tambun, Perak.

"Pasukan serbuan merampas sejumlah 3,349 karton rokok putih seludup pelbagai jenama dan 253 karton rokok kretek seludup pelbagai jenama.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.4 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 9:38 PM