POLIS menyerbu pangsapuri dijadikan pusat panggilan perjudian dalam talian dengan penahanan tiga wanita warga asing dan dua lelaki tempatan. FOTO IHSAN PDRM
POLIS menyerbu pangsapuri dijadikan pusat panggilan perjudian dalam talian dengan penahanan tiga wanita warga asing dan dua lelaki tempatan. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kegiatan sindiket perjudian dalam talian membabitkan tiga wanita warga asing dan dua lelaki tempatan menggunakan pangsapuri di Jalan Kuching, di sini, untuk beroperasi mengundang padah apabila diserbu polis semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata, serbuan polis itu dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul ke atas sebuah pangsapuri jam 4 petang.

Katanya, kediaman itu dijadikan suspek sebagai sarang pusat panggilan judi dalam talian.

"Hasil pemeriksaan di dalam premis, seramai dua lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing ditangkap polis.

"Kesemua suspek berusia lingkungan 20 tahun hingga 27 tahun yang terbabit dalam kegiatan perjudian ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata, kelima-lima suspek terbabit berperanan sebagai penjaga premis dan operator pusat panggilan.

"Hasil siasatan awal juga mendapati kegiatan ini berselindung di sebalik rumah pangsapuri persendirian dan mula beroperasi sejak sebulan yang lalu.

"Polis merampas seunit komputer riba, empat unit pemprosesan pusat (CPU) pelbagai jenama, sembilan unit telefon bimbit pelbagai jenama, lima unit tetikus pelbagai jenama, seunit modem, seunit unit router dan serangkai kunci berserta sekeping kad akses rumah," katanya.

Menurutnya, suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 kerana terbabit dalam aktiviti judi dalam talian dan tidak mempunyai permit yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 12:55 PM