Aidi Sham (tengah).
Aidi Sham (tengah).
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Jihad perangi dadah. Itu antara usaha murni dilakukan pihak polis dalam membenteras aktiviti penjualan dadah dan penagih sepanjang bulan Ramadan ini.

Usaha secara agresif itu dilakukan pihak polis daerah Port Dickson selama tiga hari berturut-turut sejak 18 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya mensasarkan pemeriksaan di kawasan jeti-jeti nelayan serta di pesisiran pantai yang menjadi sarang dadah.

"Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Negeri Sembilan membuat serbuan dan tangkapan di daerah Port Dickson dalam operasi selama tiga hari mulai dari 18 April hingga 20 April lalu.

"Sepanjang Ops itu diadakan, sebanyak 51 serbuan dan 88 pemeriksaan sudah dijalankan dengan beberapa kejayaan tangkapan dan rampasan oleh pasukan polis," katanya tadi.

Menurutnya, hasil semua serbuan itu, polis menahan seramai 41 orang termasuk dua wanita dalam lingkungan usia dari 20 tahun hingga 61 tahun.

"Antara yang terbabit adalah anggota Balai Polis Chuah, Bukit Pelandok, Teluk Kemang, Pasir Panjang dan Balai Polis Lukut bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah dan negeri.

"Operasi itu mensasarkan pemeriksaan di kawasan jeti nelayan persisiran pantai di samping kawasan sekitar yang menjadi tumpuan pengedar dan penagih dadah," ujarnya.

Aidi Sham berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah dalam operasi selama tiga hari itu.

"Polis berjaya merampas dadah syabu seberat 16.32 gram, heroin seberat 0.75 gram dan air ketum anggaran 4.5 liter.

"Kesemua mereka ini dipercayai terbabit dengan pengedaran, memiliki dan penyalahgunaan dadah dan racun dan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.

Tambahnya, tujuan utama operasi khas ini ialah mensasarkan kawasan jeti haram dan markas aktif yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Tujuan operasi ini adalah untuk meningkatkan kepercayaan serta keyakinan masyarakat terhadap masalah dadah yang perlu ditangani secara berterusan.

"Hasrat polis adalah untuk membanteras dadah yang menjadi musuh utama negara dan polis menyeru masyarakat awam agar sama-sama membantu dengan menjadi mata dan telinga kepada polis dalam menyalurkan maklumat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 2:02 PM