MOHAMMAD Hamdan ketika meninjau Latihan dan Persediaan JBPM menghadapi fenomena Monson Timur Laut (MTL) di Tasik Temenggor. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
MOHAMMAD Hamdan ketika meninjau Latihan dan Persediaan JBPM menghadapi fenomena Monson Timur Laut (MTL) di Tasik Temenggor. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meminta mana-mana badan khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu perseorangan yang ingin turut serta dalam operasi carilamat mangsa banjir supaya tidak bergerak solo dan mengambil tindakan secara sendirian.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, sebaliknya segala tindakan mereka perlu dirujuk atau didaftar kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang diterajui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) atau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang diterajui polis selaku Komandan dan bomba selaku Timbalan Komandan.

Beliau berkata, ia penting bagi penyelarasan terutama berhubung agihan tugas, selain menjamin keselamatan.

Malah, katanya, mereka juga boleh dibekalkan peralatan menyelamat yang sesuai, terbaik dan mencukupi termasuk alat berkaitan pencahayaan pada waktu gelap.

"Mereka masuk ke kawasan yang tiada kepakaran dan pengalaman mengenai topografi kawasan itu walaupun untuk menghulurkan bantuan, mungkin ia berbahaya terutama ketika waktu gelap serta cahaya tidak cukup.

"Kita mahukan koordinasi kerana tidak mahu keanggotaan menyelamat terlalu ramai di sesuatu kawasan tumpuan lalu tertinggal atau melupakan kawasan terpencil lain seperti kes yang pernah terjadi di Kuala Krai, Kelantan suatu ketika dulu.

"Ia sebenarnya berkaitan dengan 'common sense' (naluri kebersamaan) iaitu kalau kita masuk rumah orang, kena bagi salam dan begitu juga bila ingin pulang perlu maklumkan tuan rumah. Paling kurang kita tahu pergerakan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau Latihan dan Persediaan JBPM menghadapi fenomena Monson Timur Laut (MTL) di Tasik Temenggor, Pulau Banding, di sini hari ini.

Latihan membabitkan kontinjen JBPM dari empat negeri iaitu Perak, Kelantan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan Pulau Pinang membabitkan simulasi operasi penyelamatan dalam suasana berair.

Hadir sama Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman dan Pengarah JBPM Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya berharap sistem amaran awal yang dipasang oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) khususnya di kawasan berisiko berlaku fenomena kepala air dapat memberikan arahan lebih jelas.

Katanya, ini kerana dapatan pihaknya mendapati penduduk kadangkala terkeliru dengan bunyi siren seakan sama dari jentera pasukan beruniform lain, sekali gus menyebabkan penduduk lambat bertindak untuk menyelamatkan diri.

"Kita sarankan agar amaran awal kepada penduduk terkesan dibuat lebih jelas, maksudnya mungkin perlu 'PA system' (sistem siar raya). Kalau bunyi siren (semata-mata) mungkin penduduk sangkakan biasa seperti siren ambulans, bomba, atau polis.

"Diharapkan siren dibunyikan bersama pengumuman mengenai keperluan berpindah segera dari kawasan terbabit," katanya.

Selain itu, katanya, sepanjang tahun lalu terdapat 350 keluarga pegawai serta anggota bomba seluruh negara turut terjejas akibat banjir.

Justeru, beliau berkata, JBPM bercadang menjadikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) khusus bagi anggota bomba terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 5:25 PM