Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah selepas merampas syabu dan ganja seberat 258 kilogram bernilai RM7.74 juta dalam lima serbuan di Kedah dan Pulau Pinang.

Sembilan suspek turut ditahan susulan dua operasi yang dilakukan pada 16 hingga 18 April lalu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kedah dan Perlis itu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua suspek berusia 31 hingga 52 tahun dan yang disyaki terbabit dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah syabu serta ganja untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, dalam tangkapan pertama jam 2 petang 16 April lalu, pihaknya menahan empat suspek di Kepala Batas, Pulau Pinang yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

"Susulan daripada itu, kita melakukan serbuan di sebuah kawasan perumahan di Sungai Petani dan menemui lebih 207 kilogram dadah disyaki syabu dan 46 kilogram dadah jenis ganja dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

"Dalam operasi kedua di Kulim pada 18 April lalu jam 3.30 pagi, kita menahan lima lagi lelaki dan daripada tangkapan itu kita berjaya merampas lima kilogram syabu.

"Kesemua dadah jenis syabu yang dirampas adalah seberat 212 kilogram manakala ganja seberat 46 kilogram yang bernilai RM7.74 juta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, sindiket dipercayai bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu dan dadah berkenaan dipercayai dibawa dari Kelantan menggunakan jalan darat untuk edaran di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

"Ini kerana Kelantan mempunyai sempadan yang banyak berlaku pembolosan terutama Sungai Golok dan dari sana dadah akan dibawa masuk melalui jalan darat ke tiga negeri di utara.

"Tangkapan ini membabitkan dua sindiket berlainan cuma persamaannya mereka ambil dadah ini dari Kelantan dan dadah ini dipercayai dibawa masuk dari Thailand.

"Siasatan masih dilakukan untuk mengesan sekiranya ada saki baki dan kalau ada kita akan buat tangkapan susulan," katanya.

Ayob Khan berkata, suspek yang ditahan ini bekerja sebagai ejen insuran, mekanik dan jurujual manakala sebahagiannya adalah penganggur.

Beliau berkata, dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 1.1 juta orang penagih dadah.

"Saringan awal air kencing terhadap sembilan suspek ini mendapati tujuh daripada mereka positif dadah jenis Methapetamine.

"Semakan rekod lampau juga mendapati empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah," katanya.

Ayob Khan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama lima hingga tujuh hari untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 iaitu JSJN turut menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan RM423,072.

"Ia membabitkan tujuh kenderaan bernilai RM419,072 Dan wang tunai berjumlah RM4,000.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas termasuk sitaan bernilai RM8.17 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 3:55 PM
Ayob Khan (tengah) menunjukkan sebahagian dadah jenis syabu dan ganja yang dirampas dalam lima serbuan di Kedah dan Pulau Pinang bernilai RM7.74 juta pada 16 dan 18 April lalu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Ayob Khan (tengah) menunjukkan sebahagian dadah jenis syabu dan ganja yang dirampas dalam lima serbuan di Kedah dan Pulau Pinang bernilai RM7.74 juta pada 16 dan 18 April lalu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI