Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia dan merampas dadah jenis syabu seberat 31.25 kilogram (kg) bernilai RM1.4 juta menerusi empat serbuan di Johor Bahru dan Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan pada 6 dan 7 Disember itu membawa kepada penahanan suspek yang bertindak sebagai runner berusia 33 hingga 46 tahun dan dipercayai sindiket itu beroperasi sejak Mac lalu.

Beliau berkata, tangkapan pertama membabitkan dua suspek termasuk lelaki Indonesia ketika sedang menunggu bot di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi, pada 7.15 malam Ahad lalu, manakala seorang lagi ditahan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, pada 2.30 pagi semalam.

"Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melancarkan operasi khas ke atas sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah.

"Modus operandi kegiatan penyeludupan dadah ini adalah menyembunyikan dadah di dalam tong jeriken (tong minyak) bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum dihantar ke Indonesia dengan menggunakan bot melalui jalan laut," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, pihaknya merampas syabu seberat 31.25 kilogram (kg) bernilai RM1.4 juta yang boleh digunakan 312,500 penagih.

Beliau berkata, selain pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Honda Civic dengan nilai sitaan RM40,000.

Menurutnya, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 13 Disember depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"Bermula 1 Januari hingga 6 Disember lalu, JSJN Johor berjaya membuat tangkapan 18,133 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan turut merampas dadah sebanyak 2.68 tan.

"Keseluruhan dadah dirampas bernilai RM31.07 juta, selain turut disita adalah harta bernilai RM 13.56 juta," katanya.

POLIS Johor merampas dadah jenis Syabu bernilai RM 1.4 juta pada sidang media di Pusat Media IPK Johor, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
POLIS Johor merampas dadah jenis Syabu bernilai RM 1.4 juta pada sidang media di Pusat Media IPK Johor, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 314 kompaun dikenakan bagi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu 1 Disember hingga semalam, berbanding hanya 91 kompaun bagi tempoh 23 hingga 30 November lalu.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 71 peratus dan pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi pemantauan dan tinjauan bagi memastikan rakyat patuh pada prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 2:18 PM