MUHYIDDIN ketika menziarahi Atiman di kediamannya. FOTO  Essa Abu Yamin
MUHYIDDIN ketika menziarahi Atiman di kediamannya. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Pagoh: Kerajaan perlu meneliti pelbagai perkara sebelum membuat keputusan sama ada menamatkan Memorandum Persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik bersama pembangkang atau sebaliknya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk perkara yang membabitkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) yang menyentuh masa depan negara.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menyerahkan sepenuhnya keputusan berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Perkara itu membabitkan pentadbiran kerajaan persekutuan yang juga masih berada di bawah pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Dalam pertemuan saya dengan pimpinan PN bersama Perdana Menteri dua minggu lalu ada bincang perkara berkenaan kerana saya dengar pihak pembangkang minta perkara itu dilanjutkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi Setiausaha Bersatu Bahagian Pagoh, Atiman Kadar di kediamannya di Kampung Sungai Alai, Panchor, dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, dalam pertemuan itu, Perdana Menteri belum melakukan apa-apa keputusan berhubung perkara berkenaan.

"Jadi saya tidak berfikir untuk membuat apa-apa kenyataan bagi pihak beliau dan itu terserah kepada Perdana Menteri untuk meneliti sama ada wajar atau tidak.

"Ini kerana beliau (Perdana Menteri) ada banyak perkara yang perlu difikirkan berkaitan dengan soal masa depan negara seperti pilihan raya dan sebagainya," katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, beliau difahamkan pihak pembangkang mahu MoU yang sepatutnya tamat Julai ini dilanjutkan.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang akan berakhir 31 Julai ini tidak akan diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 8:30 PM