MUHYIDDIN Yassin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
MUHYIDDIN Yassin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Noor Atiqah Sulaiman


Sepang: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meminta penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung keputusan Majlis Tertinggi (MKT) Umno untuk tidak meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dengan pembangkang yang akan tamat pada 31 Julai ini.

Muhyiddin berkata, ketika pertemuan bersama pimpinan PN dengan Perdana Menteri pada minggu lalu, pihaknya turut membincangkan mengenai perkara berkenaan.

"Namun, ketika itu, Perdana Menteri memaklumkan belum ada apa-apa rundingan nak dibuat sama ada untuk lanjutkan atau pun tidak, jadi saya setuju dengan pilihan berkenaan.

"Tetapi hari ini ada keputusan yang berbeza dan kita akan dapatkan penjelasan dengan Perdana Menteri sama ada dia nak berhenti atau lanjutkan MoU berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Lawatannya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ismail Sabri akur dengan keputusan MKT Umno untuk tidak meneruskan MoU berkenaan dan sebagai Naib Presiden Umno, beliau tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh MKT.

Semalam, MKT Umno memutuskan MoU antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan yang berakhir 31 Julai ini, tidak diteruskan lagi.

Pada 13 September lalu, kerajaan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Ismail Sabri bersama ketua-ketua parti PH termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP yang ketika itu Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Umno kekal memilih Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) akan datang, Muhyiddin berkata, ia soal parti dan beliau tidak akan membuat sebarang komen berkaitan isu berkenaan.

"Itu soal parti Umno, dia nak pilih calon siapa pun kita dengar saja lah, saya tiada apa-apa nak komen. Sekarang pun dia masih menjadi Perdana Menteri, namun ke hadapan kita tidak pasti.

"Kalau nak calonkan itu, ia adalah di pihak Barisan Nasional, kalau di PN kita tak ambil pendirian yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 6:47 PM