Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Polis tidak menolak kemungkinan mayat yang ditemui rentung dalam Proton Wira yang terbakar di Kampung Taman Jaya, di sini hari ini adalah pemilik kereta itu.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, siasatan lanjut masih lagi dijalankan untuk mengenal pasti identiti mangsa selain, punca kebakaran.

"Dalam siasatan awal, kereta itu dimiliki lelaki dikenali R Ramasamy berusia 42 tahun dari Ladang Kok Foh, Bahau.

"Siasatan awal di tempat kejadian juga tidak menemui unsur khianat, tetapi forensik bomba yang menggunakan anjing pengesan menjumpai kesan bahan bakar di tempat pemandu dan bahagian luar hadapan kereta.

"Jenis bahan bakar masih belum diketahui dan sampel sudah diambil untuk analisa," katanya di sini, hari ini.

Hoo berkata, setakat ini tiga saksi sudah diambil keterangan, manakala maklumat diterima memaklumkan kereta itu dilihat di lokasi pada 2.45 pagi.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Berita berkaitan

Kereta terbakar, seorang individu rentung

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 5:51 PM