GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Gara -gara mahu mendapatkan kad pemastautin tetap (PR) Malaysia secara mudah, seorang peniaga kerugian RM11,600 apabila ditipu individu yang mendakwa boleh mendapatkan kad itu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 60 tahun itu dikatakan mahu mendapatkan dua kad PR untuk pekerja dan seorang rakannya yang mempunyai pasport dan permit sah tinggal di negara ini.

Katanya, mangsa kemudian berurusan dengan seorang wanita pada 10 November lalu selepas tertarik pada iklan di Facebook.

"Mangsa kemudian menghubungi wanita terbabit melalui aplikasi WhatsApp sebelum dimaklumkan bayaran perlu dijelaskan bagi mendapatkan kad PR berkenaan.

"Setiap keping kad PR itu ditawarkan pada harga RM4,800 dan mangsa tertarik dan segera membuat pembayaran," katanya tadi.

Hoo berkata, suspek turut meminta tambahan wang RM2,000 bagi proses membuat kad PR itu.

"Namun mangsa hanya membayar RM2,000 dan mahu sekeping kad PR disiapkan sebelum baki bayaran dilakukan.

"Mangsa bagaimanapun didesak supaya membuat bayaran tambahan RM2,000 namun tidak dilayan.

"Difahamkan mangsa membuat enam kali transaksi pembayaran bermula 10 hingga 30 November lalu ke tiga akaun bank berbeza membabitkan jumlah RM11,600.

"Semakan mendapati terdapat aduan berkaitan kes sama dilaporkan berlaku di Taman Ungku Aminah, Johor Bahru, "katanya.

Hoo berkata mangsa yang ditipu membuat laporan di Balai Polis Batu Kikir semalam dan polis menyiasat kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 5:24 PM